VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Ogos 2014 / 27 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 17/03/2010

Trend baru politik Malaysia

SATU trend baru dalam politik tempatan sedang muncul dan kini berkembang pesat. Perkembangan itu perlu diberi perhatian dan difikirkan secara kritis dari aspek sebab dan akibatnya dalam jangka masa panjang. Ini kerana ia akan memberi implikasi besar kepada bentuk sosiopolitik dan kecenderungan pemikiran politik demokrasi di Malaysia pada masa akan datang.

Trend yang dimaksudkan itu wujud berasaskan kepada dua senario politik yang kritikal dan saling berkaitan.

Senario pertama menyaksikan seperti biasa 'pertembungan sengit' di antara parti pemerintah yang diterajui kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang (pakatan pembangkang) yang masing-masing semakin sengit dan tersepit dalam perlumbaan untuk memenangi hati rakyat.

Keadaan yang semakin semak dan mendesak itu tidak lain dan tidak bukan bertujuan mendapatkan sokongan padu melalui undian daripada pemilih berdaftar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan datang. Dalam keadaan yang semakin mendesak itu juga, kedua-dua lawan sebenarnya masing-masing menghadapi kemelut politik dalaman yang kini kritikal.

BN perlu menyelesaikan isu tertunggak dalam parti komponennya yang ada. Antaranya adalah isu parti MCA yang dilihat sebagai api dalam sekam, selain isu parti komponen lain termasuk kepimpinan lapuk dalam parti MIC, hubungan antara UMNO dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) serta beberapa isu lain.

Pakatan pembangkang juga tidak kurang menerima bahana, apabila sekumpulan wakil rakyat dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringat negeri dan Parlimen bertindak keluar dari parti itu dan kini menjadi wakil rakyat bebas. Selain itu, terdapat juga isu melibatkan hubungan 'tiga sahabat karib' iaitu PKR-DAP-Pas yang sebenarnya boleh dianggap tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain.

Natijah daripada segala rentetan dalam hubungan tiga sahabat karib itu, maka lahir dan wujudlah senario kedua yang mana rakyat negara ini menyaksikan perubahan dari segi kecenderungan berpolitik dengan menggunakan platform bukan menerusi parti politik, sebaliknya bertindak secara sendirian, sama ada sebagai wakil rakyat bebas mahupun berjuang menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO).

Kedua-dua senario itu jelas menunjukkan bahawa politik di Malaysia pada masa kini sedang melalui satu perubahan yang bersifat 'gradual'. Walaupun perubahan itu boleh disifatkan sebagai sesuatu yang 'positif' dalam konteks politik demokrasi masa kini, namun jika dilihat dari segi kritis, ia sebenarnya satu bentuk 'percaturan politik' yang meletakkan masa depan rakyat dan negara sebagai satu bentuk 'pertaruhan' yang amat membimbangkan.

Sejarah politik dunia sudah cukup untuk membuktikan betapa percaturan politik yang sebegini hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja, sama ada pemimpin dan para pendokong parti atau kelompok politik tertentu. Keadaan itu tidak mustahil berlaku dalam politik kerana bak kata seorang tokoh politik Jerman tersohor, Otto von Bismarck: "Politics is the art of possible', iaitu dalam politik, segalanya adalah mungkin berlaku.

Dari segi sejarah tamadun manusia dan evolusi pemerintahan negara, politik sebagai 'alat mengurus' negara tidak pernah sama sekali berpihak kepada rakyat. Malah, dalam banyak keadaan, rakyatlah yang selalu menjadi mangsa dalam percaturan politik sebegini.

Barangkali, peristiwa-peristiwa seperti Revolusi Perancis (1789-1799) dan Revolusi Bolshevik (1917) boleh dijadikan contoh yang jelas bagaimana rakyat dipergunakan orang-orang tertentu atas nama 'perjuangan politik rakyat' bagi mencapai matlamat politik kelompok tertentu di Perancis dan Rusia pada ketika itu.

Oleh yang demikian, adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sepanjang proses sebegini berlangsung, dari awal hingga akhir, 'pemenang mutlak' sudah pasti bukannya rakyat, apatah lagi negara.

Bagi sesetengah pendokong parti-parti politik tertentu, keadaan itu mesti diterima oleh rakyat jelata. Inilah yang mereka sebut sebagai 'perubahan politik', yang mesti dialami dan dilalui oleh rakyat dan negara yang ingin kesejahteraan hidup berkekalan. Dalam proses itu, ujar mereka, 'perjuangan politik' adalah sangat penting, manakala 'pengorbanan' pula tidak dapat dielakkan kerana hujah mereka, tanpa pengorbanan tidak akan ada sebarang perubahan.

Rakyat marhaen sangat mudah terpengaruh dengan pandangan sebegini yang pada anggapan mereka, ia sangat tepat dan bersesuaian dengan senario politik semasa. Pertimbangan yang dibuat oleh rakyat yang kononnya marhaen itu pula seringkali tersasar. Mereka seakan-akan lupa bahawa politik sebenarnya hanyalah satu 'alat' untuk mengurus negara, manakala parti-parti politik yang mereka sokong dan dokong itu pula sebenarnya hanyalah sebagai 'perantaraan' antara rakyat dan kerajaan.

Apa yang jelas adalah trend baru politik di Malaysia pada hari ini sebenarnya tidak akan membawa kebaikan untuk jangka masa panjang atau sekurang-kurangnya menjelang PRU Ke-13 yang akan datang.

Sama ada kita semua percaya ataupun tidak, rakyat semacam sudah 'hilang kepercayaan' kepada sistem politik kepartian sehingga mendorong segelintir ahli politik sama ada dalam parti kerajaan, mahupun parti pembangkang untuk bergerak sebagai 'ahli politik bebas' di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun di Parlimen.

Malah ada di antara mereka itu semacam tidak takut walaupun telah diugut untuk dipecat daripada menjadi ahli parti.

Sistem politik kepartian pada masa kini seperti sudah kehilangan arah dan tujuan sebenarnya. Segelintir pimpinan parti-parti itu seakan-akan lupa matlamat sebenar mereka berpolitik, iaitu untuk kepentingan rakyat dan negara dan bukannya untuk kepentingan peribadi semata-mata. Mungkinkah trend perjuangan politik secara 'bebas' itu bakal menjadi pilihan rakyat Malaysia pada masa akan datang?

Persoalan itu perlu dijawab oleh semua pihak yang berkaitan, sama ada para pemimpin politik dan rakyat jelata. Barangkali, persoalan akhir yang perlu difikirkan adalah 'politik ala-demokrasi sebenarnya untuk apa, dan untuk siapa?

Penulis ialah Pensyarah Sains Politik, Program Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.