ARKIB : 23/12/2009
Syarikat beli enjin pesawat F-5E dikenal pasti
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Sebuah syarikat di negara ini dikenal pasti terlibat dalam urusan pembelian dua enjin pesawat F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang pada 2007.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, syarikat berkenaan bagaimanapun tidak pernah mendapat projek ataupun menyertai tender yang ditawarkan oleh kementeriannya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa keupayaan mereka melepasi kawalan keselamatan disumbang oleh penglibatan orang dalam yang mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.
"Telah dikenal pasti syarikat itu (yang membeli enjin) iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Malaysia tetapi mempunyai cawangan di negara jiran.
"Mereka akan dikenakan tindakan komersial oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan bas Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), di sini hari ini.
Sabtu lalu, akhbar melaporkan kehilangan sebuah enjin pesawat pemintas F-5E TUDM pada 2007 iaitu ketika proses penghantarannya ke negara luar untuk diperbaiki.
Pada hari ini pula akhbar mendedahkan sebenarnya bukan satu tetapi dua enjin pesawat jenis itu yang dilaporkan hilang pada tahun sama dan dijual ke salah sebuah negara di Amerika Latin.
Mengenai perkembangan terbaru kes kehilangan enjin pesawat itu, Ahmad Zahid berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah mengarahkan TUDM supaya menyerahkan butiran lanjut mengenai kes berkenaan.
Beliau berkata, antaranya ialah maklumat berkaitan enjin serta dokumen berkaitan perjalanannya ke destinasi sebenar.
"Kita juga bersetuju dengan Peguam Negara yang memberi tempoh tertentu kepada TUDM supaya memberi maklumat berkenaan," katanya.
Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan bahawa kehilangan enjin berkenaan tidak membabitkan pegawai TUDM sebaliknya dilakukan oleh anggota lain-lain pangkat (LLP) iaitu sarjan ke bawah.
"Yang terlibat adalah anggota LLP namun mereka ini mempunyai hubungan bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.
"Tetapi jika ada pegawai yang terlibat mereka tidak akan terkecuali daripada tindakan," tegasnya.
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









