|
KUALA TERENGGANU 15 Okt. - Dalam menghidupkan tradisi lama iaitu menanam pokok setiap kali seorang anak dilahirkan, sebanyak 53 pokok beruas ditanam di Taman Awam Batu Burok di sini bagi melambangkan kelahiran 53 orang bayi pada Hari Kemerdekaan Ke-52 negara ini pada 31 Ogos lalu.
Selain mengindahkan landskap di taman rekreasi itu, penanaman pokok itu juga ingin memupuk generasi baru supaya bersemangat kental dalam menghadapi cabaran yang bakal datang pada masa depan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi I Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Ramlan Ali.
Turut hadir Penolong Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mariam Zainal.
Ramlan berkata, kerajaan negeri berharap ibu bapa akan menerapkan semangat kekuatan pokok beruas yang mempunyai akar tunjang kuat dan mampu menahan tiupan angin kencang kepada anak-anak mereka.
''Kerana itulah, kita memilih pokok beruas ini untuk memupuk generasi baru yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang supaya lebih kuat dan kental dalam menghadapi cabaran," katanya.
Pada masa yang sama, tambahnya, kerajaan negeri ingin memupuk rakyat Terengganu supaya lebih menghargai dan memulihara alam sekitar demi masa depan anak-anak mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM3.5 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan projek landskap di daerah masing-masing pada tahun ini.
''Peruntukan itu disediakan bagi membolehkan PBT melakukan kerja-kerja landskap seperti membeli pokok dan peralatan.
''Jumlah peruntukan yang diterima oleh setiap PBT bergantung kepada pendapatan majlis daerah dan perbandaran di mana ketika ini, Majlis Daerah Kemaman dan diikuti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu mencatatkan pendapatan tertinggi," jelasnya.
IKLAN@UTUSAN
|