ARKIB : 19/09/2009
Selcat cemar imej pegawai daerah
SHAH ALAM 18 Sept. - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dikritik kerana pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa itu.
Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin (gambar) menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi selain menjejaskan imej serta kredibiliti dirinya sebagai penjawat awam sejak 30 tahun lalu.
Beliau adalah antara sembilan Pegawai Daerah di Selangor yang dipanggil memberi keterangan pada 9 September lalu yang berlangsung selama empat jam dan disambung lagi pada keesokkan harinya.
Katanya, siasatan yang diketuai oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim itu dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.
''Saya rasa amat terhina dengan proses memberi keterangan yang dikendalikan Selcat. Mereka mengemukakan soalan seolah-olah saya langsung tidak faham prosedur, bodoh dan tidak tahu menjalankan tugas.
''Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam hampir 30 tahun dan ini kali pertama saya diperlakukan seperti ini. Ia memberi kesan kepada maruah, imej, reputasi serta kredibiliti saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selcat mengadakan pendengaran awam pada 8 hingga 14 September lalu berhubung peruntukan ADUN 2008 dan 2009 di Bangunan Annex di sini.
Peruntukan ADUN itu merujuk kepada perbelanjaan pada Januari hingga Mac bagi kedua-dua tahun tersebut.
Sehubungan itu, dengan tindakan dan serangan yang dilakukan ke atas Pegawai-pegawai Daerah, Bakhtiar berkata, tidak keterlaluan jika ada pihak menggunakan Selcat untuk kepentingan politik.
Tambahnya, beliau serta keluarganya turut tertekan berikutan pandangan masyarakat terhadapnya yang dilayan seperti pesalah.
Ini kerana katanya, proses memberi keterangan itu turut disiarkan secara meluas di dalam Internet termasuk disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan.
''Keadaan ini tidak adil kepada saya serta beberapa Pegawai Daerah lain yang turut dipanggil kerana kita hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
"Ketika itu, saya sebagai Pegawai Daerah diarahkan memproses dan membuat bayaran melalui peruntukan khas ADUN dengan seberapa segera untuk memenuhi keperluan kerajaan negeri dan rakyat dalam menghadapi pilihan raya," jelasnya.
Kata Bakhtiar, sebagai penjawat awam, adalah tidak wajar beliau mengingkari arahan dikeluarkan oleh kerajaan negeri ketika itu.
Malah jelasnya, beliau sentiasa mengikut perintah kerajaan semasa dan tidak boleh menyebelahi mana-mana parti politik seperti mana yang termaktub dalam Perintah-perintah Am.
Dalam pada itu, katanya, beliau tertakluk kepada peraturan kewangan dan arahan pentadbiran serta terikat kepada pengawasan pihak audit iaitu Jawatankuasa kira-kira Wang Awam (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya Selcat.
Jelasnya, tindakan Selcat yang bersikap 'ala-gestapo' itu sebenarnya tidak perlu kerana peruntukan khas ADUN itu dijalankan mengikut garis panduan dan Surat Pekeliling Perbendaharaan Selangor yang ditetapkan ketika itu.
Katanya, ketika pilihan raya pihaknya menyegerakan proses pembayaran yang diarahkan oleh kerajaan negeri ketika itu dan ADUN-ADUN wajar menggunakan peruntukan tersebut untuk kepentingan rakyat meliputi orang kurang upaya (OKU), warga emas, fakir miskin dan sebagainya.
''Pada pandangan saya, ADUN- ADUN menghabiskan peruntukan itu kerana mereka perlu memenuhi keperluan rakyat kerana tidak pasti sama ada akan terpilih semula sebagai wakil rakyat.
''Jadi apa kesalahan kita sebagai penjawat awam menguruskan tugas selaras dengan hasrat kerajaan negeri ketika itu," katanya.
Tambahnya, beliau tidak pernah menerima arahan untuk menguruskan perbelanjaan peruntukan khas itu dalam tempoh setahun.
Sebaliknya, kata Bakhtiar, ia terpulang kepada ADUN itu menguruskan perbelanjaan untuk keperluan rakyat mengikut prosedur ditetapkan.
USM bekerjasama dengan universiti luar negara kaji penyakit keturunan
Harga tembikai dijangka stabil menjelang Ramadan - FAMA
Nur Liyana catat kecemerlangan di Amerika Syarikat
KPN janji garis strategi drastuk tangani jenayah seluruh negara
10 anggota Exco Negeri Sembilan angkat sumpah
Majlis angkat sumpah ADUN Terengganu 16 Jun
Kes 4 mati di MRR2: Pemandu Proton Satria didakwa minggu depan
PDRM tubuh Jabatan Pencegahan Jenayah tangani masalah jenayah
Penggabungan selesai sebulan
Enam anak Felda takluk Everest
Malaysia lobi kerusi Majlis Keselamatan
SPR tubuh pasukan khas semak guna dakwat kekal
PPPR syor tiga langkah perangi rasuah
2 kementerian setuju NBOS diperkasa
Dua kementerian bergerak senada
CUEPACS gesa boikot AirAsia
Perkasa desak Kalimullah mohon maaf
Kalimullah tidak faham sejarah, lupa diri
AirAsia enggan bawa pulang jenazah dari Jogjakarta
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









