Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 11/09/2009
Cara halus akhbar Inggeris main isu perkauman

Cara halus akhbar Inggeris main isu perkauman

AKHBAR Utusan Malaysia sering dimomokkan sebagai bersifat perkauman oleh akhbar Inggeris tertentu. Ada kalanya dengan memetik berita daripada akhbar yang dianggap sebagai perkauman ini untuk dikritik oleh pembangkang atau Majlis Peguam.

Ia bijak untuk tidak memusuhi akhbar ini secara langsung, sebaliknya menggunakan pihak ketiga.

Saya telah memerhati taktik dan strategi akhbar ini sekian lama. Dalam beberapa hal, ia berjaya dan berkesan untuk menggambarkan dirinya sebagai bersifat nasional.

Pada pandangan saya, sebarang laporan yang melibatkan Utusan Malaysia difokuskan sebagai perkauman Melayu adalah kerana berita dan rencananya memihak dan mempertahankan hak-hak rakyat bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Sebaliknya akhbar Inggeris itu menyelewengkan pandangan umum bahawa isu-isu mengenainya adalah sebagai perkauman.

Apa yang dilakukan oleh akhbar Inggeris ini adalah bertentangan dengan dasar MCA sendiri yang terpaksa menyepi dalam isu-isu tertentu kerana persefahaman tradisi yang telah wujud sekian lama dengan UMNO.

Tindakan akhbar ini telah meletakkan MCA pada pandangan orang Cina seperti tidak bermaya.

Tetapi baru-baru ini, dalam keghairahan untuk menunjukkan keadilannya kepada masyarakat berbilang kaum, akhbar itu telah menyalahkan hanya satu kaum sahaja.

Ia hanya melihat satu aspek sahaja tentang tunjuk perasaan penduduk Islam di Seksyen 23 Shah Alam yang membantah pembinaan kuil Hindu di kawasan perumahan mereka, dengan membawa kepala lembu ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor.

Tidak sahaja rencana pengarangnya, malah Ketua Pengarangnya melalui ruangan mingguannya telah memberikan pandangan yang menggambarkan orang Islam di Malaysia tidak ada toleransi terhadap agama lain dengan tindakan serupa itu.

Dalam rencana pengarang keluaran hari Ahad, akhbar Inggeris itu bertanya: “Sejak bilakah adanya batas lokasi di Malaysia bagi sebarang pembinaan bangunan untuk mengerjakan ibadat. Ia tidak pernah menjadi masalah sebelum ini. Maka itu mengapakah perlu adanya kuarantin sekarang ini terhadap kepercayaan lain?”

Jelas dalam masalah ini pengarangnya hanya melihat daripada masalah terkini sahaja. Pembinaan kuil Hindu di merata-rata tempat tanpa keizinan pihak berkuasa telah berlaku sekian lama di negara ini dan menjadi masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana dianggap sensitif kepada penganut agama Hindu tanpa mengambil kira sensitiviti pihak yang tanah mereka diceroboh.

Contoh yang paling jelas ialah pembinaan kuil Hindu secara haram di kawasan Angkasapuri yang sekalipun telah berkali-kali minta dirobohkan oleh pihak Kementerian Penerangan tetapi sehingga kini tidak dapat dilaksanakan. Berita bantahan mengenainya telah dibesar-besarkan oleh akhbar-akhbar Tamil.

Apakah pengarang akhbar ini tidak tahu bahawa tempat ibadat sebarang agama di negara ini tidak boleh dibina dengan sewenang-wenang, termasuk bagi orang Islam sendiri? Pembinaan tempat ibadat memang ada batasnya tetapi telah dilanggar oleh penganut Hindu sejak sekian lama dengan pembinaan kuil secara haram. Bermula dari yang kecil sehingga besar dan kemudian menuntut dihalalkan. Jika tidak diluluskan,ia dijadikan suatu isu perkauman.

Untuk menunjukkan toleransi masyarakat Cina, akhbar Inggeris itu telah menunjukkan Masjid Kapitan Keling yang tegak megah di tengah-tengah George Town, Pulau Pinang. Dia melupakan hakikat berapa banyak tokong Cina yang berada di kampung Melayu dan di kawasan Melayu di negara ini sejak sebelum merdeka.

Akhbar itu lupa tentang tulisannya dan juga surat pembaca yang disiarkannya yang membantah kewujudan orang Bangladesh menjadi pembantu di gerai perniagaan di Jalan Petaling kerana akan merosakkan identiti jalan itu yang selama ini dikenali sebagai kawasan masyarakat Cina.

Ia juga cuba hendak mengelirukan masyarakat terhadap toleransi orang Melayu selama ini hanya kerana sekumpulan orang Melayu membawa kepala lembu ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor.

Kenapa ia tidak mengutuk dengan keras apabila orang Cina membawa babi yang dibalut dengan kain ke kawasan perumahan Melayu di Melaka tidak lama dahulu?

Sikap akhbar ini adalah sama seperti mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang ketika berada dalam Parlimen Malaysia telah menunjukkan orang Melayu yang bersifat perkauman dengan mengelirukan isu.

Kuan Yew dalam suatu ucapannya berkata: “Sekalipun kita menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi kita tidak boleh menyekat orang Cina berbahasa Cina di rumahnya dan orang India berbahasa Tamil sesama mereka dan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak menggunakan bahasa masing masing”.

Soalnya siapakah yang hendak menyekat? Adakah orang Melayu hendak melarang orang Cina berbahasa Cina di rumahnya? Kuan Yew memperkatakan sesuatu yang tidak ada asas untuk membangkitkan prasangka perkauman. Ini adalah cara yang halus dan bijak tetapi jahat.

Dalam keghairahan memperjuangkan kuil Hindu dan mempertahankan kerajaan pakatan pembangkang yang diharapkan oleh akhbar itu untuk menjadi jambatan kepada Malaysian Malaysia, akhbar Inggeris ini telah menunjukkan warnanya yang sebenar sebagai sebuah akhbar rasis yang sama dengan kebanyakan akhbar akhbar berbahasa Cina di negara ini.

Apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat Malaysia yang cintakan kepada keharmonian hidup dan mahukan 1Malaysia ialah mengambil tindakan menyebarkan maklumat bahawa akhbar ini adalah akhbar yang didukung oleh orang Cina yang pro-DAP dan juga pro-Malaysian Malaysia serta menentang 1Malaysia.

Kuala Lumpur">

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN