|
![]() |
|
aMER Awang hanya mampu melihat keretanya (dalam bulatan) tenggelam setelah terbabas ke dalam Sungai Gombak berhampiran pasar raya Sogo, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Walaupun tahu nyawanya bagaikan di hujung tanduk, seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam bertindak nekad keluar dari kenderaannya yang dipenuhi air selepas terjunam di sebatang sungai di ibu negara awal pagi ini.
Tindakan pantas pelajar itu, Ammer Awang, 21, berjaya menyelamatkan nyawanya kerana kereta jenis Satria Neo yang dipandunya itu tenggelam sepenuhnya di dalam Sungai Klang berhampiran pusat beli-belah Sogo di sini.
Kejadian mencemaskan itu berlaku kira-kira pukul 2.10 pagi ini ketika mangsa dalam perjalanan ke Jalan Kuching dari Bukit Tunku.
Ketika melalui selekoh tajam di kawasan berkenaan, kereta yang dipandunya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terjunam.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan membuka pintu dan keluar dari keretanya.
Katanya, mangsa yang hanya mengalami cedera ringan mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
''Kami berjaya mengeluarkan kenderaannya itu kira-kira pukul 1 petang dengan menggunakan kren," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah beliau lagi, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu.
IKLAN@UTUSAN
|