|
KUALA LUMPUR 28 Jun — Langkah kerajaan memperkenalkan Biasiswa Nasional tahun depan yang berdasarkan sepenuhnya kepada merit adalah selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.
Dalam mengalu-alukan langkah itu beliau berkata, skim biasiswa yang adil dan saksama bukan sahaja dapat membantu pelajar berkenaan untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya, tapi juga membolehkan harapan dan impian 1Malaysia mampu dicapai.
“Jika mahu Malaysia berjaya, ia perlu bergantung kepada kumpulan pelajar terbaik yang akan menjadi pemimpin negara dan menjadi aset yang paling penting,” kata beliau yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman oleh Najib semalam bahawa kerajaan akan mewujudkan biasiswa khas yang dinamakan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun depan yang akan berdasarkan kepada merit sepenuhnya.
Najib berkata biasiswa akan diberikan kepada pelajar berkelayakan yang terbaik tanpa mengira kaum, selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan mengkaji semula pemberian biasiswa kerajaan.
Lee berkata pengenalan biasiswa itu akan dapat merealisasikan hasrat kearah melahirkan modal insan terbaik untuk 1Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan pendidikan juga adalah kunci kepada kejayaan dan kesejahteraan negara.
— BERNAMA
IKLAN@UTUSAN
|