|
KUALA LUMPUR 28 Mei - Desakan beberapa pihak tertentu termasuk parti pembangkang supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Malaysia tidak akan memberi sebarang faedah malah akan menyebabkan kesan negatif kepada rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tiada asas yang kukuh mengapa Chin Peng harus dibenarkan pulang ke tanah air selepas jenayah yang dilakukan meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat terdahulu terutama orang Melayu.
"Apa faedah mereka perlu menyokong gesaan itu?. Sekarang ini, lebih penting adalah kita fokus kepada pembangunan generasi kita demi negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian membina dan menyewa bangunan 348 Sentral antara Gapurna Sdn. Bhd. dengan Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) di sini hari ini.
Permintaan bagi membawa pulang Chin Peng itu disuarakan oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan baru-baru ini atas alasan pemimpin PKM itu telah uzur dan tidak lagi membahayakan keselamatan negara.
Semalam, tiga parti pembangkang pula meminta kerajaan berbuat demikian dengan syarat bekas pemimpin PKM itu benar-benar insaf dan bebas daripada ideologi komunis sebelum dibenarkan berbuat demikian.
Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah membuat keputusan dengan tegas bahawa Chin Peng tidak akan dibenarkan pulang dan semua pihak perlu menghormati keputusan itu.
Katanya, permintaan sedemikian tidak perlu ditimbulkan lagi kerana ia hanya akan mengakibatkan lebih banyak keburukan wujud kelak.
"Ini sesuatu yang tidak perlu ada kerana meminta perkara sebegini adalah satu isu yang sensitif dan perlu diteliti sebaik-baiknya sebelum berbuat begitu. Ia adalah tidak wajar," katanya,
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukriz Mahathir berkata, Chin Peng tidak sepatutnya dibenarkan pulang kerana dia telah menyebabkan terlalu banyak masalah dan rasa tidak puas hati rakyat dan negara di mana banyak nyawa terkorban untuk menyekat kegiatan komunis dan menjaga keselamatan negara pada era itu.
" Jadi saya tidak bersetuju langsung dengan mana-mana cadangan bahawa dia sepatutnya dibenarkan pulang. Untuk membenarkan pemimpin utama komunis ketika itu pulang ke negara ini merupakan satu penghinaan kepada semua yang terkorban, semua yang berkorban untuk memastikan seluruh negara selamat dan aman," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran produk terbaru Accuwest Sdn Bhd di sini.
Beliau berkata Chin Peng juga tidak dialu-alukan pada masa ini kerana negara kini berhadapan dengan cabaran global untuk bergerak ke hadapan.
" Kita kini telah lama hidup dalam keadaan harmoni, ada beberapa masalah kecil di sana sini yang belum diselesaikan. Jadi saya fikir kita tidak perlukan masalah lagi dengan cadangan dia sepatutnya diberikan kebenaran untuk pulang," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|