Utusan Online
 
9 Februari 2010 / 24 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 27/05/2009
Bimbang trend kahwin lewat

Bimbang trend kahwin lewat


Shahrizat Abdul Jalil dan Ahmad Sarji Abdul Hamid berbual dengan ahli-ahli panel seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Mei - Kerajaan bimbang terhadap trend lewat berkahwin di kalangan wanita dan lelaki yang dikhuatiri memberi implikasi jangka panjang kepada negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jika trend itu berlaku berterusan, impaknya kepada negara ialah tempoh kesuburan wanita menjadi pendek dan kesukaran mendapat anak.

Menurutnya, perkahwinan tidak lagi menjadi keutamaan kepada wanita dan lelaki sebaliknya sanggup melewatkannya kerana terlalu mengejar kerjaya, melanjutkan pelajaran dan enggan terikat dengan institusi perkahwinan.

''Umur minimum perkahwinan pertama untuk lelaki meningkat daripada 28.6 tahun pada tahun 2000 kepada 28.9 tahun pada masa kini.

''Begitu juga dengan usia minimum perkahwinan wanita yang meningkat daripada 27.8 tahun pada tahun 2000 kepada 28.6 tahun masa kini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian seminar dua hari anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ialah Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Sehubungan itu, Shahrizat berkata, antara kandungan dan inti pati yang akan dimasukkan ke dalam Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakannya ialah mengenai risiko dan implikasi tindakan lewat berkahwin kepada negara.

Katanya, dasar dan pelan tindakan itu akan dibentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Shahrizat meminta ibu bapa supaya tidak melepaskan kepada pihak lain tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sekiranya berlaku perceraian.

''Dalam sesetengah masyarakat, adalah menjadi satu keaiban sekiranya suami melepaskan tanggungjawab terhadap anak-anak kepada orang lain,'' katanya.

Menurutnya, amalan seumpama itu sepatutnya menjadi ikutan kepada semua masyarakat di negara ini tanpa perlu dikuat kuasa undang-undang ke atas mereka.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN