Utusan Online
 
9 Februari 2010 / 24 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 25/03/2009
GMP kekalkan perjuangan

GMP kekalkan perjuangan

KUALA LUMPUR 24 Mac - Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP-PPSMI) menolak dakwaan bahawa mereka mulai alpa dalam perjuangan menghapuskan PPSMI.

Pengerusinya, Datuk Dr. Hassan Ahmad menegaskan, pertemuannya dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini bertujuan memahami serta mendalami pendirian masing-masing berhubung isu pelaksanaan PPSMI.

''Malangnya, pertemuan dalam suasana yang ceria itu menimbulkan pelbagai persepsi dan tohmahan kepada GMP.

''Perjuangan kami masih kekal iaitu mahu memansuhkan pelaksanaan PPSMI dan ini sedang dalam kajian kementerian untuk dipertimbangkan termasuk akan diusulkan ke Kabinet dalam jangka masa terdekat,'' katanya pada sidang akhbar Gelombang Kedua GMP di Rumah Pena di sini hari ini.

Turut hadir Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Menurut Hassan, pertemuannya dengan Hishammuddin 19 Mac lalu dibuat dalam keadaan santai dan diplomasi.

Suasana itu, jelasnya, menimbulkan persepsi bahawa GMP tidak serius dan sudah alpa akan perjuangannya menghapuskan PPSMI.

Katanya, pandangan seperti itu tidak benar sama sekali dan GMP sehingga hari ini masih meneruskan usaha menghapuskan pelaksanaan PPSMI dan mendesak kerajaan menukar kembali dasar pembelajaran seperti sebelum tahun 2003.

''Malah, kami berjaya mengusulkan supaya dilakukan transformasi kurikulum di peringkat sekolah rendah dan prasekolah sebagai gantian kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.

''Selain itu, perbincangan kami juga berkisar tentang perbincangan mewajibkan pengajian Sejarah di sekolah rendah,'' katanya.

Menyentuh tentang siasatan pihak polis berhubung tindakan GMP menganjurkan perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI, Hassan memberitahu, beliau telah memberi kenyataan kepada polis dan masih belum mendapat maklum balas.

''Saya difahamkan sekumpulan polis akan datang ke sini (Rumah Pena) hari ini untuk mendapatkan keterangan daripada kami.

''Tapi, masih belum muncul lagi. Tunggu dan lihat saja lah,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN