Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 01/12/2008
Sejarah kelahiran Melbourne

Sejarah kelahiran Melbourne

Melbourne yang terletak di titik paling selatan benua Australia begitu istimewa. Bukan hanya kerana cuaca atau keindahan landskapnya, malah kemajmukan masyarakatnya.

Melbourne lahir daripada sumber kekayaan bahan galian dari perut buminya - emas. Kedatangan masyarakat Eropah, terutamanya dari Britian adalah untuk mengaut kekayaan ini.

The Birth of Melbourne yang diedit oleh Tim Flannery adalah salah sebuah buku 'sejarah' yang begitu berharga kepada peminat sejarah Melbourne. Flannery telah menulis satu pengenalan kepada buku ini dengan baik sekali. Beliau memulakan perjalanan kembara ke masa silam dengan membawa pembaca ke 400 juta tahun lalu, ketika tanah yang digelar Melbourne sekarang ini sedang terbentuk hasil daripada perubahan alam.

Yang menariknya tentang buku ini adalah kerana ia menghimpunkan artikel dan catatan yang ditulis oleh mereka yang terlibat secara langsung di dalam pembinaan Melbourne sejak awal ia dibuka lebih 150 yang lalu.

Antaranya adalah catatan diari John Batman yang dikatakan antara orang pertama yang membuka Melbourne. Ditulis pada sekitar tahun 1835. Walaupun ringkas, namun ia membongkar sejarah pembinaan bandar Melbourne kepada masyarakat, khasnya kepada penduduk Melbourne.

Batman dikatakan pada ketika itu sebagai pemilik tanah yang terkemuka di dunia kerana berjaya membeli 600,000 ekar tanah daripada penduduk pribumi Melbourne.

Turut dimuatkan juga dokumen rasmi perbualan antara Batman dengan wakil-wakil penduduk pribumi yang ditandatangani oleh ketua-ketua puaknya. Batman menulis dalam catatan diarinya tentang keadaan puak-puak pribumi tersebut, yang menerima kedatangannya dengan baik sekali.

Juga dimuatkan tulisan John Pascoe Fawkner, yang tiba di Melbourne dua bulan selepas Batman. Fawkner merupakan orang pertama yang menerbitkan suratkhabar pertama di Melbourne. Tulisan Fawkner di dalam buku ini adalah merupakan catatan diari peribadinya.

Lebih menarik tentang buku ini adalah kerana himpunan catatan atau artikelnya yang merentas masa. Apa yang dapat penulis belajar daripada pembacaan buku ini ialah bagaimana masyarakat Melbourne mendokumentasikan sejarah mereka.

Sejarah sesebuah kawasan tidak seharusnya bermula hanya daripada tempoh permulaan bertapaknya manusia di situ, malahan ia seharusnya juga perlu mengambil kira keadaan geografinya yang terbentuk sama ada secara semulajadi atau tidak. Sejarah sepatutnya menggabungkan peranan manusia dan alam di dalam membentuk sesebuah kawasan yang dibicarakan itu.

Sebagai seorang penulis buku sejarah, Flannery berusaha untuk menulis sejujur-jujurnya. Beliau tidak menafikan, bahawa ada sejarah hitam turut berlaku ketika bangsanya mula-mula membuka (atau menjajah) kawasan Melbourne daripada suku-suku kaum pribuminya. Misalnya, manusia pertama yang dihukum gantung di penjara lama Melbourne adalah dari suku kaum pribuminya.

Flannery mengakui bahawa peristiwa ini begitu memalukan kerana tidak ada seorang pun dari golongan penjajah yang dihukum penjara, apatah lagi gantung, walaupun ramai di antara mereka turut melakukan kesalahan.

Malah, menurutnya lagi Victoria ('negeri' yang terletaknya Melbourne) merupakan tempat yang paling tidak selamat bagi seseorang pribumi untuk hidup pada sekitar tahun 1835-1850. Namun begitu, Melbourne kini telah banyak berubah, sama ada dari segi geografinya malah dari struktur sosialnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN