Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 25/11/2008
Jangan pertikai fatwa yoga

Jangan pertikai fatwa yoga

BANGI 24 Nov. - Ahli Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim (gambar) meminta mana-mana pihak tidak mempertikaikan fatwa mengharamkan yoga kerana tiada jaminan pengamal senaman itu tidak terjebak dalam mantera atau elemen falsafahnya.

Beliau menegaskan, ini kerana yoga merupakan 'ilham laduni' yang menerima tuhan sebagai model yang maha sempurna dan atas sebab itu bagi pengamal yoga di antara perkara utama yang dikehendaki ialah mesti melakukan senaman badan yang digelar 'asana yoga'.

''Matlamat senaman yoga ialah mahu bersatu dengan Brahma (maha pencipta), justeru agak janggal jika ada orang bukan Hindu terikut-ikut dengan senaman itu.

''Terdapat banyak risalah yang menerangkan puluhan ragam cara-cara mengamalkan senaman yoga, yang tujuan asalnya bukan untuk kesihatan badan semata-mata malah lebih jauh dari itu iaitu bersatu dengan Brahma," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Dr. Abdulfatah yang turut menyertakan kajian mengenai yoga kepada Majlis Fatwa Kebangsaan memberitahu, buku-buku senaman yoga boleh menyebabkan pengamalnya terpengaruh dengan pelbagai teori mengenai kejiwaan Hindu yang bercanggah dengan akidah Islam.

''Yoga ialah 'sambungan', 'kok', 'bersatu' atau 'ittihad' roh individu dengan roh alam semesta serta kesatuan roh ilahi sendiri (Brahma) yang bersatu dengan tuhan.

''Yoga ialah falsafah Hindu iaitu satu agama wahdat al-wujud yang menyalahi fahaman Islam ithainiyat al-wujud," katanya.

Menurutnya, antara bentuk senaman yoga ialah Padmasana (kedudukan bunga teratai) yakni duduk bersila di atas lantai dengan kaki kanan di atas paha kiri dan kaki kiri di atas paha kanan serta meletakkan tapak tangan di atas lutut kanan dan tapak tangan kiri di atas lutut kiri serta ibu jari menyentuh jari telunjuk.

Terdapat juga senaman garuda atau Garudasana iaitu nama burung khayalan yang menjadi tunggangan Vishnu ketika mahu naik ke langit.

Beliau memberitahu, amalan zikir 'OM' atau 'AUM' yang diamalkan oleh para yogi (pengamal yoga) dikatakan mantera kekuasaan suci.

''Di dalamnya terkandung segala nama tuhan dan mengandungi banyak rahsia terpendam, cara menyebut kalimah ini hendaklah dikeluarkan suara daripada belakang kerongkong, dihembus ke mulut, keluar dari mulut dan selesai apabila bibir tertutup setelah menyebut huruf 'M' yang terhenti dengan dengungan suara bunyi berterusan.

''Ini melibatkan semua anggota badan yang mengeluarkan perkataan manakala suara yang mengandungi banyak nama tuhan manakala AUM pula yang bermula huruf 'A' melambangkan kejadian terkandung dalam diri Brahma, 'U' melambangkan Vishnu tuhan pemeliharaan dan 'M' melambangkan Shiva tuhan pembinasa.

''Amalan konsep bersenam biasa ialah mengeluarkan peluh tetapi tidak berlaku dalam yoga. Malah senaman biasa boleh dilakukan tanpa penyeliaan guru dengan menjadikan buku sebagai panduan.

''Saya sendiri pernah mengamalkan yoga lebih 30 tahun lalu semasa di Amerika Syarikat (AS) dan mampu melakukan senaman teratai, tetapi mula meninggalkannya apabila mendapati yoga bercanggah dengan amalan Islam," katanya.

Dr. Abdulfatah memberitahu, tanda tanya yang besar dalam dirinya adalah apabila yoga menerapkan elemen kepercayaan Hindu iaitu mati dan hidup manusia berulang-ulang manakala dunia ini kekal tiada kiamat.

Kata beliau, dalam kepercayaan itu, masalah dosa setiap individu dibalas dengan undang-undang karma.

Kata beliau: ''Apabila mati, seseorang itu akan dihidupkan semula, rohnya memasuki jasad deva atau manusia atau binatang atau tumbuh-tumbuhan.

''Dari kaca mata Hindu-Buddha, mati dan hidup semula berterusan selama-lamanya dan berulang-ulang, dunia ialah tempat penderaan balasan karmanya yang tiada kesudahan, sedangkan dalam Islam mati hanya sekali," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN