|
KUALA LUMPUR 4 Nov. — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan menyasarkan 12,000 graduan dilatih dalam jangka masa dua tahun melalui program Skim Pengurusan Memudahkan Graduan Mendapat Kerja (GEMS) yang akan dilaksanakan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan untuk menyediakan lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan memandangkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan yang akan membawa kepada penjanaan peluang pekerjaan yang lebih lembap dan juga pengangguran.
Katanya, kerajaan bercadang untuk menyokong dan menyelaraskan usaha GLC dalam menangani masalah graduan menganggur ini dengan mewujudkan satu program bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka sebelum mereka diserap atau mendapat pekerjaan di syarikat GLC mahu pun swasta.
“Kerajaan yakin program ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan penggunaan domestik di samping memberi pengalaman yang berharga kepada graduan terlibat,” katanya ketika menggulung perbahasan perbelanjaan 2009 di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, kerajaan juga akan mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kritikal dan amat diperlukan dalam sektor awam.
Pada masa ini, beliau berkata, kekosongan jawatan kritikal dalam sektor awam adalah 18,000 orang.
Najib berkata, kekosongan sebanyak 18,000 jawatan kritikal dalam sektor awam akan diisi secara kontrak, sementara menunggu proses pelantikan secara tetap.
Dalam tahun ini, katanya, lebih 1,300 kakitangan telah dilantik secara kontrak bagi Jabatan Kerja Raya untuk meningkatkan keupayaannya dalam melaksanakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK9).
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk memberhentikan kakitangan kontrak di dalam perkhidmatan Kerajaan sebagaimana dilaporkan di dalam media,” katanya.
- Bernama
IKLAN@UTUSAN
|