Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 12/10/2008
Kempen kekalkan ISA

Kempen kekalkan ISA

GOMBAK 11 Okt. - Barisan Bertindak Gombak hari ini melancarkan kempen menandatangani sokongan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terus dikekalkan.

Penasihatnya, Datuk Ahmad Bujang berkata, ISA yang merupakan asas kepada pembinaan negara serta penting dalam memastikan keamanan tidak sepatutnya dihapuskan.

"Kami akan pastikan akta ini terus dikekalkan dan dalam tempoh sebulan ini, kami akan dapatkan seberapa banyak tandatangan daripada rakyat Malaysia untuk meraih sokongan supaya akta ini dikekalkan.

"Seterusnya, banner dan buku tandatangan ini akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar," katanya selepas melancarkan kempen berkenaan pada majlis hari raya di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Gombak, Said Anuar Said Ahmad dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor, Mohamad Mustafa Latif.

Sebelum ini terdapat banyak bantahan terhadap pengwujudan ISA yang dikatakan tidak lagi relevan kerana menyekat kebebasan rakyat.

Pemuda Gerakan juga mahu kerajaan membuat pindaan yang menyeluruh terhadap ISA atau mempertimbangkan pelaksanaan Akta Anti-Pengganas.

Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak berkata, ISA dapat menjaga ketenteraman awam, keselamatan negara dan kestabilan politik.

"Tindakan ISA hanya akan dikenakan kepada seseorang yang mengganggu ketenteraman awam, kalau ia dihapuskan, masalah lain akan timbul.

"Negara kita berbilang kaum dan akta ini penting bagi memastikan negara kita aman dan harmoni tanpa adanya unsur-unsur yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan yang tegas terhadap Hindu Rights Action Force (Hindraf) perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada semua.

"Hindraf adalah pertubuhan haram yang patut dikenakan tindakan kerana mempunyai agenda tersendiri ketika penyokongnya berkelakuan tidak sopan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Jika tindakan tidak diambil ia akan menyebabkan wujudnya pertubuhan-pertubuhan haram lain seperti ini yang akan mengancam ketenteraman negara," tegasnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN