|
ARKIB : 06/09/2008 Kurator Muzium Adat Jelebu meninggalREMBAU 5 Sept. - Pakar rujuk adat dan budaya negeri, Profesor Norhalim Ibrahim, 64, meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Pakar Seremban, petang semalam. Allahyarham yang juga Kurator Muzium Adat di Kuala Klawang, Jelebu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.45 petang. Menurut adiknya, Norzali Ibrahim, 57, abangnya telah dimasukkan ke hospital itu sejak 26 Ogos lalu kerana sakit yang dihidapinya. Bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu adalah juga anggota Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan. Allahyarham juga dianggap tokoh sejarah, adat, budaya dan warisan Negeri Sembilan kerana banyak menghasilkan buku, artikel dan sebagainya. Di samping itu Allahyarham juga banyak menyumbang artikel kepada akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Adat Perpatih yang diwujudkan setahun lalu. ''Beliau merupakan pakar rujuk adat dan sentiasa mahu memartabatkan adat serta budaya negeri ini kepada umum. Allahyarham adalah penyelidik kental dalam adat perpatih," kata Ketua Biro Utusan Malaysia Seremban, Ainol Amriz Ismail. Antara orang kenamaan yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharif Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus. Sementara itu, Pengarah Muzium Negeri, Shamsuddin Ahmad berkata, Allahyarham banyak menghasilkan buku mengenai sejarah adat dan budaya Negeri Sembilan. ''Allahyarham adalah seorang yang tidak lokek memberi ilmu, pandangan dan sentiasa bersedia bekerjasama untuk membuat penyelidikan mengenai sejarah, adat dan budaya Negeri Sembilan," katanya. Penghulu Luak Ulu Muar, Datuk Seri Maharaja Khalid Bongek pula berkata, sumbangan besar Allahyarham ialah membuat penyelidikan terutama mengenai Adat Perpatih dan sejarah Negeri Sembilan. ''Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham ialah semasa beliau membentang kertas kerjanya bertajuk Institusi Beraja di Negeri Sembilan di Dewan Merdeka, Rembau pada 29 Jun lepas," katanya. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Aiani Sudin, 40-an dan lima anak serta empat orang cucu. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah ibunya di Kampung Mulia, di sini, dan dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Pekan Rembau sebelum solat Jumaat. TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Tandas awam lima bintang
Elak tragedi Hari Raya Aidilfitri Stesen bas Terminal 1 lebih bersih, ceria Penduduk Bandar Seri Jempol alami masalah bekalan air Sagu hati RM500 bukan tambahan - Mohamad Hasan 23 bayi merdeka di Hospital Melaka Hutan Lipur Lata Kijang diarah tutup - MB KYM hasilkan hiasan sagu 1Malaysia terbesar
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Utusan Online on Facebook
|