|
KUANTAN 29 Ogos - Buat kali kedua dalam tempoh sebulan, kejadian histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini kembali tenang apabila tidak ada pelajar diserang histeria hari ini.
Situasi 'aman' itu dipercayai ada kaitan dengan usaha pemulihan yang dilakukan beberapa guru agama dari Kumpulan Darul-Syifa Cawangan Pahang dan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) sejak semalam.
Bagaimanapun, tiada pihak dapat memberi jaminan kejadian itu berakhir sepenuhnya kerana suasana yang sama pernah berlaku pada 31 Julai lalu apabila seorang bomoh tempatan mendakwa berjaya menyelesaikan serangan histeria di sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, histeria kembali menyerang pelajar sekolah terbabit lima hari kemudian.
Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, walaupun tidak ada pelajar dilapor mengalami histeria hari ini namun beliau tidak dapat memberi jaminan kejadian itu telah tamat dan pihaknya menyerahkan kepada takdir selepas pelbagai usaha dijalankan.
''Pelbagai ikhtiar dilakukan dan terbaru Kumpulan Darul Syifa serta beberapa ustaz dari KIPSAS datang membantu sejak semalam termasuk seorang pengamal perubatan tradisional yang datang secara sukarela dari Perak.
''Namun, hari ini tiada pelajar mengalami histeria dan kita berharap serta berdoa supaya keadaan aman ini berterusan dan ia tidak akan berulang seperti sebelum ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia 4 Ogos lalu mengenai kejadian histeria di SMK Tanjung Lumpur yang disangka telah berakhir pada 31 Julai lalu, kembali menghantui guru dan pelajar sekolah tersebut lima hari kemudian apabila beberapa pelajarnya dilaporkan mengalami semula histeria.
Semalam, kejadian histeria yang berulang di SMK Tanjung Lumpur dilapor bertambah serius apabila salah seorang mangsa pelajar perempuan menjerit-jerit "aku ingin darah dan nyawa."
Pada 25 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan SMK Tanjung Lumpur diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.
Dilaporkan juga pada waktu rehat, sebahagian pelajar perempuan akan mengalami sakit-sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua uzur dan keadaan itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.
Pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk mengadakan solat hajat, bacaan Yasin serta menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk memulihkan semangat para pelajar sekolah yang diserang histeria tersebut, namun usaha itu gagal.
Abdul Aziz berkata, walaupun keadaan dilapor kembali normal namun beliau masih berharap ibu bapa kepada 29 pelajar yang diserang histeria di SMK Tanjung Lumpur bersetuju untuk menukarkan anak mereka ke sekolah lain.
Beliau percaya jika pelajar terbabit dipindahkan, gangguan histeria akan dapat ditamatkan kerana enam pelajar lain yang mengalami kejadian itu dilaporkan pulih sepenuhnya setelah ditukar ke sekolah lain baru-baru ini.
Sementara itu, pengamal perubatan tradisional dari Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak, Raja Syed Sheikh Mohd. Sarip Al-Patani, 69, mendakwa, walaupun keadaan telah reda namun masalah itu harus diakhiri dengan majlis kenduri doa selamat.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|