KORPORAT

ARKIB : 16/06/2008
Danau Lumayan tarik tempahan empat kali ganda

Danau Lumayan tarik tempahan empat kali ganda

KUALA LUMPUR 15 Jun – Projek kondominium mewah, Astana Lumayan berjaya menarik sambutan luar biasa apabila pemajunya, Danau Lumayan Sdn. Bhd. (Danau Lumayan), berjaya menerima tempahan empat kali ganda daripada 250 buah unit kediaman yang ditawarkan.

Pengurus Besar Danau Lumayan (Pentadbiran dan Pemasaran), Shahril Reza Shaheen berkata, pihaknya menerima 1,000 tempahan bagi projek yang terletak di Bandar Tun Razak, di sini.

Beliau menambah, syarikat itu yakin dapat mengulangi prestasi jualan projek- projek sebelum ini apabila kesemua unit yang ditawarkannya habis dijual dalam tempoh antara empat hingga enam bulan selepas majlis pelancaran.

Katanya, Danau Lumayan melihat perkembangan projek Astana Lumayan sebagai petanda positif terhadap kepercayaan tinggi pembeli kepada syarikat pemaju bumiputera dalam industri hartanah di negara ini.

“Sambutan baik ini berdasarkan lokasinya yang strategik selain pasaran hartanah di sini (Bandar Tun Razak) yang mempunyai nilai yang tinggi pada masa akan datang.

“Apa yang membanggakan, kebanyakan pembeli kami merupakan pembeli projek- projek Danau Lumayan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Danau Lumayan, Mohammad Shariff Khaliludin.

Danau Lumayan merupakan cabang perniagaan bagi Kumpulan Securiforce (Securiforce), sebuah syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan yang diterajui oleh Datuk Maznah Hamid.

Pembangunan Danau Lumayan melibatkan jumlah kawasan seluas 40.8 hektar dengan anggar nilai kos melebihi RM800 juta.

Sebelum ini, empat projek yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual dan habis dijual dalam tempoh antara empat hingga enam bulan ialah Apartmen Lestari, Kondominium Mentari, Kondominium Vista Amani serta Apartmen Kasturi.

Shahril Reza berkata, kondominium Astana Lumayan itu ditawarkan pada harga antara RM220,000 hingga RM250,000 dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 2011.

Beliau memberitahu, Danau Lumayan turut berhasrat untuk melancarkan satu lagi projek kondominium mewah yang dikenali sebagai Casa Lumayan.

Menjelang

“Kami menjangka dapat melancarkan projek ini menjelang akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kami optimis projek ini juga bakal mendapat sambutan memberangsangkan kerana berkonsepkan seni bina unik apabila mempunyai empat jenis reka bentuk blok berbeza yang diilham menerusi projek terdahulu,” katanya.

Ditanya tentang perkembangan kini Danau Lumayan, beliau berkata, syarikat itu sedang menyiapkan kerja-kerja terakhir melibat projek Apartmen Lumayan dan projek komersial, Danau Lumayan Avenue dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM115 juta.

Katanya, kedua-dua projek itu dijangka siap sepenuhnya pada September ini dan majlis penyerahan kunci akan dilakukan selepas itu.

Mengenai projek baru, Shahril Reza berkata, syarikat mempunyai merancang membangunkan kawasan perniagaan, komersial, perumahan dan santai menerusi konsep pembangunan bersepadu.

Jelasnya, kawasan itu akan memiliki hotel berstatus tiga bintang, servis apartmen, pusat beli-belah dan taman tema.

“Sebagai pelan masa depan bagi mengelakkan kesesakan dan kepadatan penduduk, kami akan memulakan pelebaran jalan kepada tiga laluan mulai bulan ini.

“Kami yakin pembangunan pesat di kawasan ini dapat dilaksanakan dengan terancang menerusi pematuhan perumahan tempatan,” katanya.

IKLAN@UTUSAN
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:15
Asar 4:19
Maghrib 7:18
Isyak 8:28
 
IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
Utusan Online on Facebook