Utusan Online
 
9 Februari 2010 / 24 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
FORUM

ARKIB : 30/05/2008
Insentif: Kementerian jawab Doktor Terkilan

Insentif: Kementerian jawab Doktor Terkilan

SAYA merujuk kepada tulisan Doktor Terkilan, Kelantan dan Lagi Terkilan, Kuala Lumpur di ruangan forum Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penyediaan perkhidmatan atas panggilan (on-call) di luar waktu pejabat memang merupakan suatu lumrah yang sentiasa disediakan oleh Kementerian Kesihatan khususnya di hospital-hospital. Sejajar dengan beban kerja yang tinggi serta prihatin terhadap langkah penambahbaikan, maka kerajaan telah memperkenalkan Elaun Kerja Di Luar Waktu Biasa sejak 20 Oktober 1994.

Seterusnya atas keprihatinan kerajaan, pada 2 Disember 2005 elaun ini telah disemak dan amaunnya telah ditingkatkan sehingga sekarang. Ini merupakan proses berterusan yang dilakukan oleh kerajaan bagi memperbaiki dan mengimbangi sumbangan yang diberikan oleh para doktor yang bertugas dengan kerajaan.

Selain itu pada 11 September 2002, kerajaan telah memperkenalkan perkhidmatan klinik di luar waktu pejabat, di mana pada awalnya kadar yang dibayar kepada setiap doktor adalah RM30 bagi setiap jam. Bagaimanapun atas keprihatinan kerajaan, Kementerian Kesihatan telah diberi kebenaran untuk menaikkan kadar bayaran kepada RM80 bagi setiap jam mulai pada 1 Februari 2008.

Mulai tarikh itu juga, kerajaan telah meluluskan pembayaran elaun kepada para doktor yang bertugas bagi menjalankan pembedahan pada hari Sabtu di hospital-hospital tertentu.

Setiap doktor yang terlibat akan dibayar RM80 sejam dan doktor pakar akan dibayar sebanyak RM200 sejam. Reaksi yang positif telah diperolehi dari para doktor dan doktor pakar terhadap langkah yang dilakukan oleh kerajaan ini.

Memang disedari bahawa insentif kewangan yang diperolehi oleh doktor-doktor di Kementerian Kesihatan tidak sama dengan mereka yang bertugas dengan pihak swasta atau di negara tertentu di luar negara, tetapi terdapat berbagai kemudahan lain yang disediakan oleh kerajaan kepada kakitangan awam di negara ini.

PerkhidmatanKhusus bagi para doktor, peluang menjalani latihan dalam perkhidmatan dan peluang menjalani latihan kepakaran dan latihan sub-kepakaran terbuka luas. Mulai tahun ini, jumlah pelatih yang diambil bagi tujuan ini telah ditingkatkan daripada 400 kepada 600 orang pelatih setiap tahun bagi menjalani latihan kepakaran dan kira-kira 90 orang pelatih diambil bagi menjalani program sub-kepakaran.

Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah kewangan yang besar berjumlah RM300 juta dalam RMK-9, bagi tujuan latihan dalam perkhidmatan kepada semua warga Kementerian Kesihatan. Peluang-peluang latihan di luar negara kepada para doktor, menghadiri persidangan saintifik di luar negara sentiasa disediakan kepada para doktor yang berkhidmat dengan kerajaan.

Kementerian Kesihatan juga terus memperbaiki dan mempercepat peluang-peluang kenaikan pangkat.

Dengan pelaksanaan latihan siswazah selama dua tahun mulai tahun ini, mereka yang menyempurnakan latihan siswazah dan memenuhi syarat tertentu akan terus dinaikkan pangkat dari Gred UD41 ke Gred UD44, manakala bagi mereka yang menyempurnakan latihan kepakaran terus dinaikkan pangkat ke Gred UD48. Langkah ini merupakan antara kemudahan dan penambahbaikan yang terus dilakukan oleh kementerian.

Di samping itu, lain-lain insentif yang diberikan seperti cuti rehat, kemudahan pelbagai pinjaman kerajaan, pinjaman perumahan, pinjaman pembelian kenderaan dan sebagainya adalah seperti yang diberikan oleh kerajaan kepada kakitangan awam.

Penambahbaikan terhadap faedah kepada anggota kerajaan merupakan proses berterusan, dan dari semasa ke semasa penelitian dilakukan dan penambahbaikan akan dibuat jika terdapat keperluan sewajarnya. Kepada para doktor, memang perkhidmatan dan pengorbanan anda adalah sangat-sangat dihargai.

Sebagaimana maklum para doktor berurusan dengan nyawa pesakit dan adalah tidak wajar untuk para doktor bersikap acuh tak acuh kerana kurang puas dengan insentif kewangan yang diperolehi.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN