VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 18/05/2008

Kepentingan jalur lebar


Datuk Shaziman Abu Mansor, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi.


MELAHIRKAN masyarakat bermaklumat dan negara yang mampu bersaing di persada dunia merupakan matlamat utama kerajaan apabila memperkenalkan pelbagai projek berteknologi tinggi di negara ini.

Teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi, nanoteknologi dan sebagainya merupakan bidang-bidang baru yang dibangunkan oleh kerajaan dengan jumlah pelaburan yang agak tinggi.

Pada Khamis lalu, kerajaan sekali lagi mengumumkan perancangan terbaru dalam projek berteknologi tinggi iaitu meningkatkan rangkaian jalur lebar di seluruh negara untuk tempoh 10 tahun.

Mengapa kerajaan memberi tumpuan kepada projek berteknologi tinggi? Adakah kita sudah bersedia untuk menjadikan prasarana teknologi tinggi ini sebagai tarikan kepada pelabur untuk melabur di negara ini?

Untuk itu, wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. RIDZWAN IMAN dan ZULKIFLEE BAKAR menemu bual Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang kepentingan pelaburan dalam bidang jalur lebar tersebut kepada rakyat dan negara.

Menurut beliau, dunia telah berubah dan jalur lebar telah menjadi sebahagian daripada keperluan asas masa kini, tidak seperti dahulu hanya bekalan air, elektrik dan jalan raya. Dalam wawancara ini juga beliau juga turut mengulas mengenai isu harga air yang menjadi bualan baru-baru ini.

MINGGUAN: Kerajaan telah mengumumkan pelan jalur lebar yang baru bagi meningkatkan kelajuan akses Internet dan kadar penembusan jalur lebar di negara ini. Apakah faedahnya projek ini kepada orang ramai?

SHAZIMAN: Rangkaian Internet akan mempunyai kelajuan tinggi apabila mempunyai rangkaian jalur lebar yang secara asasnya bermula dengan kelajuan 384 kilobit sesaat (kbps). Apabila kita mempunyai kelajuan akses Internet sedemikian rupa, ia akan memberi faedah besar dan mengubah cara hidup masyarakat di negara ini sama ada golongan profesional, masyarakat desa seperti petani dan juga para pelajar.

Dengan adanya jalur lebar, masyarakat profesional misalnya boleh bekerja dari rumah. Malah hari ini saya difahamkan ada rakyat negara ini yang pejabat mereka di Hong Kong tetapi mereka beroperasi dari rumah di negara ini.

Manakala bagi golongan para pelajar, mereka boleh mendapat perkhidmatan pelajaran melalui persidangan video dan sebagainya. Bagi masyarakat petani, kita harapkan mereka akan boleh menyemak harga komuniti mereka melalui Internet di masa depan.

Dengan adanya pelan jalur lebar ini, gaya hidup masyarakat kita sememangnya boleh berubah.

Bagi pesakit misalnya, mereka juga boleh menggunakan aplikasi teleperubatan yang sedang dilaksanakan di hospital-hospital di negara ini sama ada mendapatkan nasihat pakar-pakar dari dalam dan luar negara.

Mengapa kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan projek berteknologi tinggi dan memerlukan pelaburan yang besar seperti pelan jalur lebar ini?

SHAZIMAN: Perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ini perlu dilakukan walaupun ramai berpendapat kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penyediaan pembekalan makanan dan sebagainya. Seperti diketahui, kerajaan sememangnya tidak mengabaikan perkara-perkara asas tersebut tetapi perlu diingat pelaburan dalam bidang teknologi perlu diteruskan untuk generasi masa kini dan masa depan.

Jika ia diabaikan, peluang ekonomi termasuk penawaran pekerjaan akan terjejas kerana kurangnya minat pelaburan sama ada dari dalam atau luar negara.

Jika dahulu, pihak yang hendak membuat pelaburan akan menanyakan mengenai kemudahan prasarana seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan kemudahan telefon, tetapi kini ia telah berubah. Salah satu pertanyaan wajib oleh bakal pelabur ialah bagaimana perkhidmatan jalur lebar kita, kelajuannya dan tarif yang dikenakan. Untuk mengekalkan kompetitif negara dan menarik pelaburan, jalur lebar telah menjadi prasarana keperluan yang mesti diadakan untuk masa sekarang dan masa depan.

Setelah kita menyediakan kemudahan prasarana jalur lebar berkelajuan tinggi atau lebih mudah dianggap seperti sebuah ‘lebuh raya’ besar di seluruh negara, tetapi sejauh mana pembangunan perkhidmatan atau aplikasi-aplikasi Internet telah dibangunkan untuk membolehkan rakyat menggunakannya di jalur lebar atau ‘lebuh raya’ baru ini?

SHAZIMAN: Ini merupakan soalan yang sering dibangkitkan seperti yang orang sering bertanya yang manakah terlebih dahulu dilahirkan di dunia ini sama ada ayam atau telurnya? Kalau pihak yang buat aplikasi, buat apa saya nak buat aplikasi kalau saluran atau rangkaian tidak ada. Bagi pihak yang buat rangkaian atau ‘lebuh raya’ ini pula, ia akan berkata buat apa hendak berbelanja besar membina rangkaian itu jika aplikasinya tidak ada atau tidak cukup.

Sebab itu, apabila pelan jalur lebar berkelajuan tinggi ini dilaksanakan, maka tiada lagi alasan untuk memperluaskan penggunaan pelbagai aplikasi seperti e-kerajaan, e-kesihatan, e-pendidikan dan sebagainya serta proses kemajuannya ke peringkat sepatutnya.

Memandangkan pembangunan jalur lebar ini dikatakan mampu meningkatkan gaya hidup dan taraf hidup masyarakat pedalaman seperti petani dan nelayan, setakat ini bagaimana langkah untuk meng‘Internet’kan masyarakat itu?

SHAZIMAN: Buat masa ini, kerajaan sedang melaksanakan program Pusat Internet Desa untuk memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk mendekatkan diri mereka kepada Internet.

Di pusat ini, ada seorang tenaga pengajar dan penyelia yang akan melatih masyarakat sekitar untuk boleh memperkenalkan produk mereka ke peringkat lebih tinggi. Sebagai contoh, seorang usahawan wanita di Selangor berjaya menjual kueh pau keluarannya sehingga ke London kerana dia mengiklankan kuehnya melalui laman web.

Perkara-perkara seperti ini yang boleh kita jadikan contoh kepada golongan petani supaya secara tidak langsung boleh memajukan diri mereka di masa akan datang.

Kita perlu memaklumkan bagaimana Internet boleh menambahkan pendapatan dan memperluaskan perniagaan sekiranya digunakan sebaik mungkin.

Oleh itu, Pusat-pusat Internet Desa ini lazimnya akan memaparkan apa produk yang terdapat di kampung itu di dalam laman web mereka.

Apakah perkembangan terkini mengenai Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang diperkenalkan untuk membangunkan kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar?

SHAZIMAN: Wang ini disumbangkan oleh semua syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini dan boleh digunakan untuk pembangunan telekomunikasi di kawasan-kawasan tidak ekonomik.

Kementerian sekarang dalam peringkat akhir untuk meminda peraturan berkaitan dana ini untuk membolehkan ia digunakan untuk melaksanakan jalur lebar di pedalaman. Ia kerana sebelum ini, dana itu hanya boleh digunakan untuk membangunkan kemudahan telekomunikasi asas di luar bandar. Ini akan merapatkan kembali jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Dalam Pelan Jalur Lebar Negara sebelum ini, kerajaan telah meletakkan sasaran penembusan sebanyak 50 peratus menjelang 2008 dan 75 peratus menjelang 2010. Tetapi pengumuman hari ini menyaksikan kerajaan telah mengubah sasaran itu kepada hanya 50 peratus menjelang 2010. Mengapa ia diubah?

SHAZIMAN: Pada peringkat awal, memang kabinet cadang penembusan jalur lebar perlu mencapai 75 peratus tetapi selepas dikaji semula, sasaran itu agak sukar dicapai dalam masa yang singkat.

Sehubungan itu, kabinet bersetuju dengan saranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan juruperunding untuk menurunkan sasaran kepada 50 peratus menjelang 2010. Ia masih masa yang singkat kerana kita hanya ada masa dua tahun sahaja untuk mencapai matlamat itu.

Kenapa kadar penembusan jalur lebar di negara ini masih rendah berbanding dengan negara-negara yang agak maju di rantau ini seperti Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan?

SHAZIMAN: Sememangnya kadar penembusan jalur lebar kita sebanyak 18 peratus adalah agak rendah. Kita memperkenalkan pelan jalur lebar pada 2004, tetapi dalam masa yang sama penumpuan kita lebih kepada perkhidmatan telefon selular.

Satu ketika dahulu, selain daripada Telekom Malaysia (TM), syarikat-syarikat telekomunikasi lain seperti Time, Maxis dan sebagainya juga diberi lesen untuk melaksanakan rangkaian talian tetap.

Tetapi mereka tidak laksanakannya dengan baik dan akhirnya tanggungjawab itu kembali semula sepenuhnya kepada TM. Ini ialah salah satu sebab pelaksanaan rangkaian jalur lebar di negara kita agak ketinggalan sedikit.

Adakah kita akan kembali meminta syarikat-

syarikat telekomunikasi selain TM untuk melaksanakan rangkaian jalur lebar di negara ini?

SHAZIMAN: Dalam pelan pelaksanaan jalur lebar berkelajuan tinggi ini, kerajaan telah melantik TM sebagai rakan kongsi untuk menyediakan rangkaian utama atau tulang belakang kepada rangkaian fibre optik ini. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi yang lain akan dibenarkan untuk membuat penyambungan di ‘perbatuan akhir’ (last mile) iaitu sambungan ke premis kediaman atau perniagaan.

Untuk memastikan persaingan sihat, TM akan mengasingkan akaun runcit dan borongnya supaya syarikat-syarikat telekomunikasi lain tahu harga runcit yang diterima anak syarikat TM adalah sama dengan harga yang dikenakan kepada mereka.

Ini kerana persaingan berlaku di ‘perbatuan akhir.’ Ini juga akan mengelakkan berlakunya pertindihan dan memberikan manfaat kepada orang ramai. Rangkaian tulang belakang ini akan dikenali sebagai ‘national carrier’ yang akan boleh digunakan oleh mana-mana syarikat telekomunikasi atau syarikat media yang berminat.

Ketika ini, masih banyak terdapat aduan mengenai perkhidmatan jalur lebar untuk orang awam. Apa pandangan Datuk mengenai masalah ini?

SHAZIMAN: Hari ini kita memang ada menerima pandangan dan teguran daripada orang ramai mengenai kualiti perkhidmatan jalur lebar yang terdapat sekarang. Tetapi kita perlu juga faham mengapa perkhidmatan jalur lebar itu tidak mencapai kualiti atau standard yang kini ingini. Ini kerana kebanyakan talian yang kita gunakan merupakan rangkaian wayar tembaga yang asalnya di reka untuk penghantaran suara dan tidak untuk penghantaran data.

Sebab itu, dengan pelan jalur lebar yang baru ini kita akan berusaha menyediakan rangkaian fiber optik sehampir yang boleh kepada port di sesuatu kawasan perumahan supaya rangkaian wayar tembaga tadi itu akan menjadi lebih pendek.

Dengan itu, kualiti perkhidmatan akan menjadi lebih baik. Manakala, bagi kawasan-kawasan berimpak tinggi, rangkaian fiber optik ini akan boleh terus disambungkan kepada bangunan atau premis-premis perniagaan ini.

Terdapat pelbagai teknologi baru dalam jalur lebar seperti menggunakan talian elektrik untuk mengakses Internet dan juga rangkaian wayarles WiMax. Bagaimana kerajaan melihat teknologi-

teknologi ini?

SHAZIMAN: Sebenarnya dari segi penggunaan WiMax, negara kita merupakan antara negara yang di hadapan. Sehingga ini, kita telah menggunakan teknologi WiMax 2.3 Gigaherz (GHz) dan sesetengah daripada peralatan pengguna biasa untuk teknologi ini masih belum diiktiraf sepenuhnya kerana kita di hadapan.

Manakala, cadangan penggunaan talian elektrik, kerajaan masih mengkaji mengenai perkara ini dan Suruhanjaya Tenaga sedang mengkaji untukmengubah sedikit peraturan sedia ada untuk membolehkan talian elektrik turut digunakan bagi tujuan transmisi data.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.