|
KUALA LUMPUR 9 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap Peguam Negara dapat membuat keputusan dan bertindak segera berhubung kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan bidang kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Perdana Menteri berkata, sekiranya Peguam Negara berpandangan kes itu boleh dibawa ke mahkamah maka ia perlu dibuat secepat mungkin.
“Harapan saya ialah beliau bertindak dengan cepat. Isu ini tentu banyak orang minat dan mereka juga mahu mengetahui apakah hukumnya berkaitan dengan perkara ini,’’ kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.
Beliau mengulas langkah beberapa pihak termasuk para pemimpin UMNO yang bertindak membuat laporan polis terhadap Karpal, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, ekoran kenyataannya yang didakwa mempersoalkan kuasa Sultan Perak.
Ketika ditanya sama ada Karpal boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Perdana Menteri berkata: “Kalau kita mahu gunakan ISA, sudah lama kita menggunakannya.”
Sementara itu, polis telah membuka kertas siasatan terhadap Karpal di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kata-kata berupa hasutan.
Setakat ini polis sudah menerima sembilan laporan terhadap Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang didakwa mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Karpal mendakwa tindakan Sultan Azlan Shah itu merupakan campur tangan Istana Perak dalam pentadbiran negeri.
Dua daripada laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, dua lagi di Brickfields di sini manakala masing-masing satu di IPD Dang Wangi di Kuala Lumpur, Tapah, Port Dickson, Muar dan Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya akan memanggil Karpal dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai laporan polis ke atas ahli politik veteran itu kerana siasatan masih di peringkat awal.
“Kita telah mulakan siasatan terhadap kes ini di bawah Akta Hasutan 1948,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membuat laporan polis terhadap Karpal ekoran kenyataannya.
Para pemimpin UMNO menyifatkan perbuatan Pengerusi DAP itu mempersoalkan bidang kuasa Sultan Perak telah menimbulkan kemarahan orang Melayu.
Laporan itu dibuat di IPD Sentul di sini atas arahan Perdana Menteri.
Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md. Yassin memberitahu, semua sembilan laporan terhadap Karpal disalurkan kepada IPD Sentul memandangkan kenyataan Karpal mengenai isu itu dibuat di bangunan Parlimen yang terletak di bawah kawasan pentadbiran polis Sentul.
“Polis akan teliti semua laporan yang diterima dan jika perlu, tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang sesuai,” katanya kepada pemberita.
Laporan terbaru di IPD Sentul dibuat pagi ini oleh Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad. Tajudin yang diiringi 20 ahli MBM membuat laporan itu kira-kira pukul 11.50 pagi.
Hari ini juga, satu laporan polis berkaitan isu sama dibuat oleh Setiausaha Pemuda UMNO Pulau Pinang, Ramlan Ishak di Balai Polis Jelutong, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, ketika ditemui selepas membuat laporan polis di IPD Sentul, Tajudin berkata, Pengerusi DAP itu bertindak melampau kerana mempersoalkan keputusan Istana Perak dalam isu pertukaran Jamry.
“Dia telah 26 tahun berada dalam Parlimen, dia (Karpal) patut faham dengan sensitiviti kaum di negara ini,” ujarnya.
Beliau menegaskan, Karpal perlu segera menghadap Sultan Azlan Shah dan memohon maaf tidak kira sama ada kenyataan itu dikeluarkan dengan niat menghina atau tidak.
Menurut Tajudin, jika Karpal enggan memohon maaf, desakan untuk beliau berbuat demikian patut dibuat oleh rakyat.
“Kami bersedia untuk menggerakkan sokongan dalam kalangan ahli dan sekutu MBM untuk turut sama menyatakan pendirian rakyat mengenai isu ini,” jelasnya.
Tajudin menambah, siasatan mengenai isu tersebut perlu dibuat dengan teliti agar hukuman yang setimpal dapat dikenakan terhadap sesiapa jua yang menghina institusi raja.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|