Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 26/04/2008
Jangan putar belit fakta

Jangan putar belit fakta

KOTA KINABALU 25 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta tidak lagi memutar belit fakta mengenai kedudukan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) negeri ini yang kononnya telah menyokong pakatan pembangkang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, tindakan itu bukan sahaja mengelirukan rakyat malah menjejaskan tumpuan kerajaan negeri dalam usaha membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini.

Beliau berkata, PKR sengaja menyebarkan khabar angin negatif itu kerana mereka tidak mempunyai gerak kerja untuk membela nasib rakyat selepas gagal menguasai Parlimen pada pilihan raya lalu.

''Kita di Sabah telah mendapat sokongan penuh rakyat pada pilihan raya dan dengan mandat itu, saya yakin pemimpin BN sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri mempunyai integriti tinggi.

''Mereka menang atas sokongan rakyat menerusi tiket BN, saya percaya mereka tidak mudah diganggu-gugat khususnya oleh pemimpin pembangkang yang sentiasa bersikap oportunis dan gilakan kuasa.

''(Pembangkang) sanggup mengeluarkan macam-macam kenyataan mengenai Ahli Parlimen Sabah seolah-olah mereka ini senang dijual beli," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemuliharaan Ekosistem dan Biodiversiti Borneo Fasa II di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin bahawa pakatan pembangkang dijangka dapat menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baru sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Anwar antara lain berkata, pakatan pembangkang mempunyai sebilangan Ahli Parlimen BN yang akan berpaling tadah tetapi beliau tidak mahu tergesa-gesa membuat pengumuman secara terbuka.

Musa menjelaskan, selepas memperoleh kemenangan pada pilihan raya lalu, kerajaan negeri kini rancak bekerja bagi menunaikan janji-janji kepada rakyat termasuk membawa lebih cepat pembangunan untuk faedah rakyat.

''Kita tidak mahu dengar cakap remeh-temeh dan cakap-cakap politik, semua itu sudah berlaku selepas pilihan raya. Kita tidak mahu buang masa dengan mereka yang hanya pandai memutar belit fakta,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN