Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
JOHOR

ARKIB : 16/04/2008
Naim semai ilmu kuda kepang kepada masyarakat Johor

Naim semai ilmu kuda kepang kepada masyarakat Johor

BATU PAHAT 15 April - Permainan kuda kepang sudah sinonim dengan masyarakat di negeri ini, tetapi masih ramai yang tidak tahu bagaimana ia dihasilkan.

Salah seorang pembuat kuda kepang di daerah ini, Naim Marjani, 68 berkata, pembuatan kuda kepang tidak sukar kerana ia mudah dipelajari tetapi seseorang itu haruslah mempunyai minat yang mendalam.

Naim yang mempunyai bengkel membuat kraf kuda kepang di Kampung Sungai Nibong, Semerah di sini sejak lima tahun lalu, telah melatih lebih 10 orang yang berminat dalam pembuatan kuda kepang.

Menurutnya, kesemua pelatih akan diberi elaun sebanyak RM300 sebulan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Negeri Johor untuk mengikuti latihan selama lima bulan.

"Setelah tamat latihan lima bulan, terpulang pada pelatih itu untuk terus berkhidmat di bengkel ini atau menamatkan latihan setakat itu sahaja," katanya.

Naim yang telah bergiat dalam permainan kuda kepang sejak 46 tahun lalu berkata, pihak PKKM sentiasa membuat pemantauan setiap bulan ke bengkelnya bagi melihat perkembangan pelajar terlibat.

Katanya, daripada 10 orang yang pernah dilatihnya hanya dua orang sahaja yang benar-benar berminat dan ingin terus menjadikan pembuatan kraf kuda kepang sebagai pendapatan tetap.

Menurutnya, pelatih akan diajar melukis dan memasang bingkai serta bulu pada kuda kepang jantan dan betina yang telah siap dianyam.

Katanya, setiap kuda kepang yang dihasilkan mampu dijual dengan harga RM100 hingga RM200 bergantung pada saiz.

Sebagai ketua Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan Sungai Nibong yang mempunyai 200 ahli, Naim turut menerima undangan membuat persembahan kuda kepang untuk pelbagai majlis dan telah mempersembahkan tarian kuda kepang lebih 1,000 kali.

Setiap persembahan mempunyai 25 penari dan bayaran adalah antara RM500 hingga RM3,000 bergantung pada masa serta tempat persembahan.

Salah seorang pelatih, Mohd. Amin Faiz, 18, kini telah memasuki penggal kedua menjalani latihan dan berhasrat untuk terus menerokai bidang yang baru diceburi itu walaupun usianya masih muda.

Katanya, minat yang mendalam dalam pembuatan kraf kuda kepang membuatkannya bersungguh-sungguh untuk memahirkan diri.

Seorang warga emas, Mohd. Yunos Sulaiman, 64, juga merupakan pelatih yang paling setia di bengkel pembuatan kraf kuda kepang ini.

"Saya seronok dapat membuat kraf kuda kepang ini dan bila sesebuah kuda kepang itu siap saya rasa puas," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN