|
Bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 April ini, konsert yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bermula pukul 8.30 malam itu pastinya dapat memberikan kepuasan kepada para peminat kerana kelainan yang diperjuangkan Farid.
Pejuang irama ghazal yang berasal dari seberang tambak, Singapura itu ketika ditemui baru-baru ini menyatakan kelainan tersebut terletak pada aspek peralatan muzik yang bakal dimainkannya sepanjang persembahan tersebut.
"Alat tersebut dinamakan Gambustar yang merupakan gabungan dua alat muzik iaitu gambus dan gitar. Gambustar direka oleh Jeffrey Yong khas untuk persembahan saya pada konsert ini.
"Gambustar memang kelihatan seperti oud atau gambus, bagaimanapun di bahagian belakangnya adalah rata sama seperti gitar," kata pemuzik berusia pertengahan 40-an itu.
Barisan pemuzik yang bakal bersama Farid pada persembahan konsertnya itu antaranya ialah Mac Chew, John Tomas, Andy Peterson dan Kamrul Hussin.
Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan oleh Farid pada malam itu termasuklah Mambo Inn, Girl From Ipanema, Wave, Night In Tunisia, How Insensitive, One Note Samba, Mantica, Look Of Love, Route 66, Kaulah Segalanya, Getaran Jiwa, Zapin Blues, Spain, Close To You, Joget Gambus, Tharana dan One Hundred Ways.
Pendedahan Farid terhadap peralatan muzik gambus bermula sejak usia kanak-kanak lagi.
Bermain gitar sejak berusia 11 tahun memberi kelebihan kepada Farid dalam mendalami selok-belok dan teknik bermain alat muzik apatah lagi di waktu kecilnya, minat yang mendalam untuk menjadi seorang pemuzik begitu menebal.
Mengakui tanggapan masyarakat terhadap muzik yang lahir dari petikan gambus seperti ghazal merupakan muzik untuk golongan veteran dan agak ketinggalan zaman, menurut Farid, ia sepatutnya tidak berlaku.
"Sebenarnya gambus telah mula dimainkan sejak lebih 3,000 tahun lalu. Ia satu alatan muzik yang unik dan sebab itu ia masih kekal sehingga ke hari ini," kata pemegang ijazah Commercial Arranging and Composition dari Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat itu lagi.
Menurut Farid, penerimaan masyarakat luar seperti Korea, Jepun, Afrika dan China terhadap alat muzik tempatan lebih baik berbanding masyarakat tempatan.
"Memang agak mengejutkan apabila saya ke negara mereka, mereka boleh menyambut baik apa juga muzik dan alat muzik tradisional kita.
"Gambus sebenarnya tidak harus hanya dilihat sebagai alat muzik tradisional semata-mata, sebaliknya dilihat sebagai alatan muzik yang boleh dipelbagaikan," katanya mengakhiri perbualan sambil berharap agar suatu masa nanti ada pihak yang boleh 'mengangkat' martabat gambus sebagai alat muzik utama tempatan.
Bagi sesiapa yang berminat menyaksikan persembahan Farid Ali pada konsert Gambus Goes Latin, sila hubungi 03-2151 7007 atau e-mel kepada dfp_boxoffice@petronas.com.my.
Tiket-tiket boleh didapati pada harga RM20, RM40, RM65 dan RM85 seorang.
IKLAN@UTUSAN
|