|
IPOH 14 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kaedah pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah ditentukan, tetapi ia perlu dirundingkan dengan sebaik-baiknya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, soal kepimpinan parti dan kerajaan memang telah dibangkitkan banyak pihak dan beliau akan berjumpa Abdullah untuk mengadakan rundingan apabila sampai pada masanya.
Kata beliau, selaku Presiden parti, Abdullah telah pun membuat kenyataan dan pengakuan secara terbuka mengenai perkara itu dan semua pihak mesti memberi masa serta tempoh kepadanya untuk menentukan tindakan lanjut.
“Berilah peluang untuk beliau (Abdullah) memperbetulkan beberapa perkara yang pada pendapatnya perlu dilakukan.
“Biar kita tentukan, kita ada cara dalaman dalam parti. Kita akan menentukannya (sebab) kita ada pengalaman dan tradisi UMNO,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin UMNO negeri Perak di sini hari ini.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Najib ketika ditemui pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama Anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) berkata, apa yang penting mengenai peralihan kuasa tersebut adalah ia berlaku dalam keadaan baik dan teratur.
Katanya, ini mustahak supaya tidak berlaku sebarang masalah ketika peralihan kuasa dan seterusnya menjamin kekuatan parti akan berterusan.
Menurut beliau, soal sama ada perlu dipercepat atau mengambil masa yang lama bukan beliau yang menentukannya.
“Namun saya percaya Perdana Menteri mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan masa dan caranya,” jelasnya.
Najib menambah, buat masa ini pihak pengurusan UMNO Pusat sedang mengumpul pandangan semua pihak berkaitan pelbagai isu dan hasilnya kelak akan diserahkan kepada Abdullah.
Mengenai pertemuan tertutup selama kira-kira empat jam dengan pemimpin UMNO Perak itu, beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan UMNO telah mendengar pelbagai pandangan dan cadangan yang disuarakan oleh pemimpin di negeri ini.
Katanya, antara inti pati perkara dibangkitkan oleh mereka dalam usaha untuk memulihkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah tentang betapa pentingnya satu pelan perancangan yang tersusun dan teratur.
Kata beliau, ia secara tidak langsung berkehendakkan agar parti membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi sebarang cabaran serta menentukan strategi politik yang bijak dan berkesan.
Selain itu katanya, pemimpin UMNO di negeri ini turut menekankan bahawa komitmen ke arah pengukuhan parti mesti dilakukan di semua peringkat termasuk di ibu pejabat serta bahagian BN.
“Pendek kata, dalam usaha pemulihan ini... dalam usaha kita untuk memperteguhkan UMNO dan BN, kita mesti lihat kepada pendekatan yang menyeluruh dan holistik,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, segala aspek yang perlu diberi perhatian hendaklah diberi perhatian.
Mengenai laporan berhubung perbuatan sabotaj parti, Najib berkata, Setiausaha Agung parti telah menerimanya, namun beliau tidak pasti tentang jumlah sebenar.
“Kita mesti berhati-hati dalam hal ini dengan tidak mudah menuding jari dengan tuduhan sabotaj.
“Kita mesti siasat, ada fakta dan pertimbang secara rasional sebelum kita buat sesuatu kerana kita tidak mahu melakukan secara terburu-buru,” katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|