Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 15/04/2008
Abdullah pertahan jawatan - Bincang peralihan kuasa dengan Najib hanya selepas pemilihan parti Disember

Abdullah pertahan jawatan - Bincang peralihan kuasa dengan Najib hanya selepas pemilihan parti Disember


Abdullah Ahmad Badawi bercakap pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Tertutup dengan Anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri dari Barisan Nasional (BN) di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 14 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan tetap mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Disember depan.

Menurut Abdullah, tiada sebab untuk beliau tidak bertanding pada pemilihan parti itu kelak.

“Mengapa saya tidak harus bertanding sebagai Presiden, beritahu saya,” tegasnya menjawab soalan wartawan tentang adanya desakan supaya beliau melepaskan jawatan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perjumpaan dengan Anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdullah turut menjelaskan bahawa hanya selepas pemilihan itu, beliau akan berbincang dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan hal-hal peralihan kuasa.

Katanya, beliau akan memastikan ia berjalan dengan lancar iaitu ketika UMNO dan BN berada dalam keadaan baik.

“Saya mahu peralihan kuasa berlaku dengan licin. Itu adalah penting supaya parti berada di dalam keadaan baik, saya tidak mahu tinggalkan parti dalam keadaan kelam-kabut.

“Saya kata pada Datuk Seri Najib selamat maju jaya, itu masalah anda bukan masalah saya, tentu itu bukan caranya. Takkan kita nak tiba-tiba... mana Pak Lah? Dia dah berhenti dah. Itu bukanlah caranya,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, dahulu pun konsep yang sama turut digunakan semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepadanya dalam keadaan elok dan berjalan dengan baik.

Abdullah bagaimanapun tidak menetapkan tempoh peralihan kuasa itu walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenainya.

“Ada mahu secepat mungkin, ada yang kata tidak terlalu cepat Pak Lah. Macam-macam pandangan pada masa ini. Saya dengar, saya dengar. Saya ada dua telinga bukan pekak,” kata beliau.

Menurut Abdullah, semua orang bebas bercakap di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Kalau kita tutup mulut, dia kata tutup mulut ini (kerana) takut, tak bebas. Nak cakap, cakaplah,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, dalam pertemuan dengan para pemimpin UMNO Johor minggu lalu, mereka telah menyatakan sokongan kepadanya untuk mempertahankan jawatan Presiden.

Mengenai desakan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya peralihan kuasa dilakukan segera, Abdullah berkata, mereka boleh berkata apa sahaja, tetapi keputusan terletak di tangan beliau.

Menjawab soalan, Abdullah berkata, desakan supaya beliau melepaskan jawatan datang daripada segelintir pemimpin dan bukannya akar umbi.

Hari ini, Rais berkata, adalah menjadi hak anggota UMNO untuk meminta Abdullah meletak jawatan atau mengumumkan pelan peralihan kuasa.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Muhyiddin pula berkata, parti itu akan hanyut dan tidak boleh bangkit lagi sekiranya tidak dilakukan perubahan segera terhadap pucuk pimpinan parti.

Mengenai UMNO bahagian yang mahu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), antaranya membincangkan kuota pencalonan bagi pemilihan Disember ini dan bagi membolehkan EGM peringkat Pusat diadakan, beliau berkata, sekiranya mereka hendak bermesyuarat, ia perlu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Abdullah turut melahirkan keyakinan bahawa anggota Dewan Rakyat BN akan patuh dan setia kepada parti berkenaan, walaupun pembangkang mendakwa adanya undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat kelak.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN