Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 14/04/2008
Semai minat membaca sejak kecil

Semai minat membaca sejak kecil

SEJAUH manakah rakyat Malaysia memperkenalkan buku kepada bayi atau kanak-kanak? Atau, apa pula peranan ibu bapa dalam memperkenalkan buku kepada bayi atau kanak-kanak?

Inilah antara persoalan yang telah dijawab oleh masyarakat Britain melalui beberapa program yang diatur dengan begitu kreatif dan komprehensif.

Antaranya ialah Bookstart, iaitu sebuah program pembacaan yang bermula dari bayi dengan pemberian buku (dengan harga yang amat murah dan berpatutan dan kadangkala percuma) kepada setiap keluarga. Yang menariknya, ini semua dilakukan oleh klinik atau hospital tempatan dengan pembabitan aktif para penasihat kesihatan.

Bookstart telah diwujudkan oleh Wendy Cooling, seorang pakar buku kanak-kanak pada tahun 1992. Program ini telah mendapat kerjasama daripada Birmingham Library Services, South Birmingham Health Authority dan Birmingham University School of Education, dan ia dijadikan projek pilot oleh Booktrust.

Antara objektif utama program ini adalah untuk menyediakan bahan-bahan bacaan secara percuma iaitu sebagai langkah proaktif bagi menggalakkan ibu bapa berkongsi bacaan dengan anak- anak mereka.

Bookstart juga akan merangsang minat membaca di kalangan anak-anak dengan perkongsian bacaan dengan ibu bapa. Seterusnya ia akan memperkasakan minat membaca di kalangan anak- anak.

Satu set buku akan mula diberikan percuma sejak bayi itu berumur lapan bulan. Manakala set tambahan akan diberikan kemudiannya apabila bayi tersebut berumur antara 18 - 30 bulan, dan set ketiganya akan diberikan kepada kanak-kanak yang telah mencapai umur tiga tahun. Selain daripada program Bookstart, masyarakat British juga mempunyai satu sistem pendidikan awal yang agak cemerlang dan mesra masyarakat.

Penulis sendiri berpengalaman menghantar anak-anak ke pusat Todler and Parents Group (TAPS Group) yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan.

Bersosialisasi

Fungsi utama TAPS Group adalah untuk kanak-kanak (terutamanya yang belum bersekolah) bersosialisasi dengan teman sebaya yang lain.

Yang menariknya mengenai TAPS Group, ia mempunyai satu konsep perpustakaan permainan, yang membenarkan setiap keluarga yang menghantar anak-anak mereka ke kumpulan ini untuk meminjam permainan dan juga buku yang berkaitan untuk sesuatu tempoh tertentu.

Permainan yang disediakan itu pula dikumpulkan bersama dengan buku-buku yang berkaitan. Misalnya, jika permainan itu berbentuk binatang seperti katak, maka buku yang dipilih juga pastinya mengenai katak. Set ini akan dibungkus bersama di dalam satu karung yang disediakan sendiri oleh TAPS Group.

Pasti konsep ini begitu menarik, kerana ia mampu menarik minat membaca kanak-kanak yang bermain permainan tersebut. Secara tidak langsung para ibu bapa akan cuba membaca buku yang disediakan bersama. Kaedah ini dilihat mampu mewujudkan minat membaca dan bermain secara sihat.

Malaysia juga pernah mempunyai satu sistem pembacaan yang sistematik. Cuma, mungkin tidaklah seperti yang diwujudkan di UK. Malaysia pernah mempunyai barisan penulis buku kanak-kanak yang mapan dan kreatif.

Penulis-penulis seperti Allahyarham Othman Puteh, Nazel Hashim Mohamad, Matlob dan beberapa nama lagi pernah mewujudkan satu gelombang pembacaan yang begitu rancak sekitar akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an.

Buku-buku novel kanak-kanak pada masa zaman tersebut rata-ratanya berkisar tentang sekawan pelajar yang mempunyai misi yang sama untuk membanteras jenayah. Tentunya, buku-buku sebegini mempunyai satu kesan yang mendalam terhadap lapisan kanak-kanak yang pernah hidup pada zaman tersebut.

Sekiranya Malaysia ingin melihat budaya membaca tumbuh cemerlang di negara ini, tentu kanak-kanak yang perlu diutamakan. Mereka perlu diberikan lebih peluang untuk membaca buku-buku yang bermutu dengan harga yang amat berpatutan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN