Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 14/04/2008
Segerakan pelan peralihan kuasa

Segerakan pelan peralihan kuasa




JOHOR BAHRU 13 April – Pelan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu disegerakan pelaksanaannya secara tersusun dan teratur.

Ini, kata Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, demi memastikan rakyat tidak tertanya-tanya mengenainya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, pelan peralihan kuasa daripada seorang pemimpin kepada pemimpin yang lain telah dilaksanakan oleh UMNO sebelum ini, seperti peralihan kuasa daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj kepada Allahyarham Tun Abdul Razak dan ketika zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Abdullah.

“UMNO Johor pada perjumpaan dengan Abdullah Jumaat lepas meminta Perdana Menteri menyediakan pelan peralihan kuasa.

“Ia merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan. Ada juga ketua bahagian yang mahukan pelan itu dilaksanakan dengan segera,” katanya hari ini.

Kesemua 26 Ketua UMNO Bahagian di Johor, kecuali Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong, menghadiri perjumpaan dengan Perdana Menteri pada Jumaat lepas yang diadakan secara tertutup.

Perjumpaan dalam suasana mesra itu berlangsung di sebuah hotel tempatan.

Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Datuk Abdul Aziz Sapian pula berkata, pelan peralihan kuasa yang teratur dan licin daripada Abdullah kepada Najib sebagaimana yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor, mampu memulihkan sokongan orang Melayu serta rakyat kepada UMNO dan kerajaan.

Beliau berkata, pelaksanaan pelan peralihan kuasa itu merupakan tunjang kepada sokongan penuh Badan Perhubungan UMNO Johor kepada kepimpinan Abdullah yang diikrarkan pada Jumaat lalu.

“Dalam lain perkataan, sokongan kepada Perdana Menteri itu mempunyai isinya tersendiri dan berkait rapat dengan penerimaan Perdana Menteri terhadap cadangan pelan peralihan kuasa oleh Badan Perhubungan UMNO Johor,” katanya.

Beliau berkata, ramai pemerhati politik dan anggota UMNO sendiri berkemungkinan terkeliru dengan pernyataan sokongan UMNO Johor terhadap Perdana Menteri, yang juga adalah Presiden UMNO.

Abdul Aziz berkata, perjumpaan Perdana Menteri dengan UMNO Johor di sini pada Jumaat lepas bagaimanapun tidak menjelaskan secara spesifik tempoh pelaksanaan pelan peralihan kuasa tersebut.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Aziz Kaprawi pula berkata, pelan peralihan kuasa yang teratur dan tersusun begitu penting terutamanya dalam konteks menyediakan jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Persediaan jentera parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan dengan lebih awal dan tidak boleh pada waktu yang suntuk.

“Oleh kerana itulah, pelan peralihan kuasa yang teratur dan tersusun penting dalam persediaan kita untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum Ke-13 dijangka lebih sengit berbanding Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini dan ini memerlukan UMNO serta BN membuat persediaan yang lebih awal, bermula dari sekarang.

Pelan peralihan kuasa yang awal, katanya, akan membantu UMNO dan BN menyediakan pelan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lebih teratur dan lengkap bagi menghadapi cabaran parti-parti lawan.

– Bernama

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN