|
![]() |
|
|
UMUM sudah mengetahui percintaan pasangan pelakon Jue dan Jehan sudah sampai di penghujung.
Episod cinta yang dimeterai berakhir dengan titisan air mata.
Cinta yang dahulunya ibarat belangkas kini ibarat kaca yang jatuh berkecai.
Imbas kembali bagaimana hubungan itu terjalin, pemilik nama Zuliana Abdul Aziz ini mengenali Jehan Miskin pertengahan tahun 2006.
Hubungan mereka menjadi sensasi apabila Jehan dikata ‘merampas’ Jue yang pada ketika itu menjadi milik Ako Mustapha.
Bagaimanapun drama percintaan itu berakhir apabila ‘kemenangan’ menjadi milik Jehan walaupun Ako pernah meluahkan hasrat untuk mengikat tali pertunangan dengan bekas peserta rancangan realiti, Malaysia‘s Most Beautiful itu.
Bagaimanapun Jehan dan Ako menganggap apa yang berlaku hanyalah satu ujian terhadap percintaan tersebut dan mereka menghadapinya dengan penuh profesional.
Sejak Jue dan Jehan menjalinkan hubungan mereka dilihat sering berdua-duaan di mana-mana sahaja dan mengakui cinta mereka ibarat tali disimpul mati.
Ya... benar bak kata orang, manusia hanya mampu merencana tetapi penyudahnya ditentukan oleh Yang Maha Kuasa.
Hari ini, hampir dua tahun hubungan itu, kasih mereka terhenti seperti membina sebuah istana pasir.
Kedua-dua mereka membawa diri bagi melupakan kekecewaan yang melanda.
Jehan ke New York menenangkan fikiran bersama-sama kakaknya, Faiznur Miskin bekas ratu gimnastik negara.
Jue pula berlepas ke negeri di bawah bayu, Sabah dengan matlamat yang serupa iaitu mahu mengubati hati yang terluka walaupun dia telah berusaha mempertahankan cintanya itu.
* Bukan minta perpisahan
Dengan linangan air mata menceritakan kisahnya, Jue pasrah terhadap kejadian yang menimpa. Ya... bak kata orang, luka kerana cinta lebih parah daripada luka yang dihiris sembilu. “Saya sangka Jehan akan menjadi lelaki terakhir untuk saya dan tidak sangka sama sekali untuk berpisah dengannya. Tiada tanda-tanda perpisahan walaupun ketika saya menyambut hari lahir ke-25 pada bulan Februari yang lalu,” kata Jue yang semakin kurus setelah mengalami penurunan berat badan hampir 10 kilogram dalam tempoh dua bulan yang lalu.
Dalam usaha untuk menenangkan diri, Jue ‘terbang’ ke Sabah seorang diri. Dia bukan sahaja mahu mengubati hati yang duka nestapa tetapi juga mencari ruang untuk bermuhasabah mengenai apa yang berlaku dan memikirkan masa hadapan.
Mengimbau kembali percintaan selama dua tahun yang bahagia bersama Jehan, Jue menyifatkan ini sebagai kenangan manis yang sukar dilupakan. Sebenarnya dia tahu banyak suara-suara ‘ghaib’ yang mendoakan kegagalan hubungan mereka ekoran keakraban pasangan dua sejoli itu.
Segala-galanya berjalan lancar dan Jue bahagia berada di samping Jehan. Kedua-duanya mempunyai persefahaman dan boleh bertolak ansur dalam banyak perkara sehingga sering disalahtafsirkan sebagai terlalu mesra atau mengada-ada.
l Mulut orang
Antara faktor penyumbang kepada perpisahan itu ialah aktiviti ‘cucuk-menyucuk’ yang sinonim dengan masyarakat tempatan oleh segelintir pihak yang cemburu dengan hubungan mereka yang mesra dan akrab di depan semua orang, kata Jue, dengan nada kesal.
Jue tidak tahu siapa yang membuat angkara ini tetapi cukup sedar mengenai cakap-cakap di belakangnya. Ada yang memperlihatkan rasa kurang senang dan iri hati dengan kebahagiaan dan kemesraan pasangan itu ketika mereka berpegangan tangan.
Lebih malang lagi apabila Jue sendiri tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang mereka yang busuk dan iri hati ini daripada meneruskan segala tohmahan dan fitnah.
Cuma Jue harap para peminatnya dapat berfikir secara rasional dan membuat penilaian yang adil terhadapnya dengan bersandarkan kepada bakat lakonan dan usaha gigih yang ditunjukkannya, bukannya cerita-cerita sensasi orang mengenai kehidupan peribadinya.
Perpisahan itu juga disokong pula oleh faktor kesibukan karier masing-masing sepanjang tempoh percintaan Jehan dan Jue walaupun secara dasarnya, kedua-dua mereka tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk memulakan kehidupan sebagai suami isteri.
l Bukan kaki ‘lelaki’
“Saya bukan jenis perempuan yang suka-suka tukar lelaki, saya boleh katakan inilah cinta pertama dalam hidup saya dan telah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan dengan azam yang kuat untuk menjadi isteri dan ibu yang baik, apalah daya setelah perpisahan melanda kami tanpa amaran,” katanya.
Sepanjang dua tahun percintaan bersama Jehan, Jue telah sedaya-upaya cuba untuk memelihara hubungan dan hati pasangannya. Dia bukan setakat menjauhkan diri daripada lelaki lain yang cuba memikatnya malah berusaha menggembirakan Jehan apabila berkesempatan dengan pelbagai cara.
Setelah berita perpisahannya dengan Jehan pula, Jue menerima banyak panggilan dan pelawaan ramai lelaki untuk bersamanya. Tetapi semua itu ditolak dengan berhemah kerana lukanya belum terubat dan biarlah dia sendirian buat masa sekarang.
Kini, setelah dapat menerima hakikat perpisahan itu walaupun bersusah payah mempertahankan hubungan cinta dengan Jehan, Jue bertekad untuk menumpukan kepada karier lakonannya selain meneruskan rancangan untuk membuka perniagaan sendiri bagi menampung pendapatan pada masa hadapan.
Sambil merahsiakan jenis perniagaan yang akan diceburinya, Jue yakin bidang itu mampu mengorak langkah ke arah kebebasan kewangan yang diimpikan selama ini walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang tersebut sebelum ini.
* Pembakar semangat
Sambil mengakui air dan riak muka yang agak tidak berapa ‘gembira’ sejak kebelakangan ini, Jue terus mendapat sokongan moral oleh banyak pihak terutama oleh kedua ibu bapanya, abang serta kakak selain dua rakan karibnya dan ‘Zorro’ yang sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja termasuk ketika sesi penggambaran drama.
Jue bertuah kerana mendapat bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar oleh kedua-dua orang tuanya yang kini tinggal di Nilai, Negeri Sembilan selain kata-kata hikmat oleh dua abang dan dua kakak kandungnya kerana kesemua adik-beradiknya itu telah berkahwin.
“Saya juga sudah ada pengganti Jehan iaitu kucing jenis bulu lebat ini yang saya namakan Zorro setelah saya ambilnya daripada kakak ipar bagi menemani dan menghiburkan hidup saya pada setiap masa dan ketika,” jelasnya sambil membelai Zorro.
* Hari-hari mendatang
Jue yang berlakon hampir 25 drama dan tiga filem setakat ini termasuk lakonan pertamanya dalam teater Bangsawan Naga Chini dua tahun lalu berkata, dia sendiri tidak menyangka limpahan rezeki sejak perpisahan itu apabila diundang untuk berlakon dalam banyak filem.
Pada masa yang sama, dengan pengajaran daripada tsunami cinta yang melanda dirinya baru-baru ini, Jue akan lebih berhati-hati dalam menjalinkan hubungan dengan sesiapa jua, dia takut pisang berbuah dua kali.
“Pintu hati saya kepada lelaki sebagai pasangan istimewa tertutup rapat pada masa ini dan fikiran saya hanya tertumpu kepada karier, keluarga, kawan-kawan dan Zorro, walaupun kadangkala berasa agak sunyi,” jelasnya.
Antara drama yang melonjakkan nama Jue ke persada industri hiburan tempatan ialah Buah Hati, Manjalara dan Impak Maksima selain lakonan berkesan dalam Bangsawan Naga Chini walaupun teater itu menjadi hasil kerja pertama Jue dalam bidang seni.
IKLAN@UTUSAN
|