|
![]() |
|
MESRA... Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Johor yang diketuai Abdul Ghani Othman (kiri) di Johor Bahru, semalam. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin (dua, kanan) dan Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin.– Bernama |
JOHOR BAHRU 11 April – Badan Perhubungan UMNO Johor menyatakan pendirian tegas untuk terus memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi memulih dan memperkukuhkan parti itu.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, UMNO Johor turut mengambil pendirian memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden UMNO itu pada pemilihan parti Disember ini.
“UMNO Johor juga menyatakan pendirian menyokong Abdullah memimpin parti seterusnya serta bagi tempoh pemilihan parti pada perhimpunan hujung tahun ini,” katanya.
Abdul Ghani berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan lebih dua jam antara Abdullah dengan Badan Perhubungan UMNO Johor di Hotel Putri Pacific di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden UMNO; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hadir kerana Menteri Pelajaran itu kini berada di Paris atas urusan rasmi kerajaan.
Abdul Ghani berkata, sokongan kepada Abdullah dibincang dan diputuskan pada Mesyuarat UMNO Johor yang bersidang di Johor Bahru pada 5 April lalu.
“Ini termasuk sokongan terhadap usaha beliau mencari langkah-langkah seterusnya untuk memenangi semula sokongan rakyat untuk sama-sama menghadapi pilihan raya seterusnya dalam negara ini,” katanya.
Abdul Ghani berkata, badan perhubungan itu amat mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri pada pertemuan tersebut bagi membolehkan sokongan itu disampaikan secara terus.
Menurutnya, pada pertemuan itu, Badan Perhubungan UMNO Johor turut membincangkan langkah- langkah yang boleh diambil bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, sokongan itu penting bagi memastikan kestabilan dan memperkuatkan parti waktu ini dan masa depan.
Tegasnya, pelbagai pandangan dan cadangan daripada ketua-ketua UMNO bahagian telah disampaikan pada pertemuan tersebut.
“Pertemuan itu banyak melihat kepada keadaan pada masa hadapan parti dan orang Melayu dengan cara memulihkan sokongan terhadap UMNO,” jelasnya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|