Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 11/04/2008
Hanya sistem diluluskan - Bekas Exco Selangor

Hanya sistem diluluskan - Bekas Exco Selangor

SHAH ALAM 10 April - Kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo sebelum ini hanya meluluskan penggunaan sistem bioteknologi oleh syarikat dari Jerman untuk dilaksanakan dalam projek ternakan babi moden di Sepang.

Bekas Exco Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawab melaksanakan projek tersebut, Datuk Tang See Hang berkata, kajian-kajian teknikal seperti Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), persetujuan penduduk dan sokongan pihak berkuasa tempatan (PBT) belum pernah dibuat.

Kenyataan beliau ternyata bercanggah dengan dakwaan Menteri Besar Selangor yang baru, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa keseluruhan projek berkenaan diluluskan pada 30 Januari lalu oleh kerajaan sebelum ini.

"Kita hanya setuju projek ini diteruskan menggunakan sistem bioteknologi oleh syarikat dari Jerman setelah kajian mengenainya didapati sesuai.

"Kajian teknikal masih belum dibuat tetapi penduduk sudah diberitahu mengenainya," kata See Hang ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid mendakwa keputusan untuk meneruskan projek ternakan babi moden bernilai RM100 juta di Sepang dibuat berdasarkan hasil kajian terperinci yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Selain itu jelasnya, perbincangan dengan penduduk setempat juga tidak perlu dilakukan kerana wakil penduduk sudah dimaklumkan secara menyeluruh mengenai projek berkenaan termasuk lawatan ke ladang ternakan babi moden di Eropah oleh kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, Mohamad Khir menafikan pernah mengeluarkan sebarang arahan mahupun memberikan kelulusan walaupun perbincangan mengenainya pernah dibuat dalam mesyuarat Exco pada 30 Januari lalu.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Asli dan Pembangunan Usahawan Selangor, Datuk Raja Ideris Raja Ahmad berkata, kerajaan negeri tidak boleh meluluskan projek berkenaan selagi kajian terperinci di lokasi tersebut belum dibuat.

Beliau menambah, hasil kajian itu seterusnya akan dikemukakan dalam mesyuarat Exco yang kemudian menimbang sama ada untuk meluluskan, menangguhkan atau membatalkan projek berkenaan.

Jelasnya, hasil kajian yang sepatutnya dilakukan itu tidak pernah dikemukakan dalam mesyuarat mingguan Exco sepanjang beliau berkhidmat.

"Kalau kajian telah dibuat, sudah tentu ia dibawa ke mesyuarat Exco. Jika semua perkara dalam hasil kajian sudah diambil kira dan dipersetujui oleh semua ahli Exco, barulah keputusan muktamad boleh dibuat.

"Itu syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri terdahulu," katanya ketika dihubungi.

Isu ladang babi bernilai RM100 juta di Sepang hangat diperkatakan setelah Exco Selangor, Teresa Kok mengesahkan kelulusan projek tersebut oleh kerajaan negeri pada 2 April lalu.

Berikutan kenyataan tersebut, pelbagai pihak termasuk penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah kerana keputusan kerajaan negeri itu disifatkan tidak menghormati sensitiviti rakyat.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN