Utusan Online
 
9 Februari 2010 / 24 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 09/04/2008
Khir nafi lulus projek ternak babi

Khir nafi lulus projek ternak babi

SHAH ALAM 8 April – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menafikan beliau meluluskan projek ternakan babi bernilai RM100 juta seperti yang didakwa kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor.

Menurutnya, walaupun perbincangan mengenainya pernah dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 30 Januari lalu, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mahupun memberikan kelulusan.

Ini kerana katanya, saiz ladang yang dicadangkan terlalu besar.

Jelas beliau, dasar kerajaan negeri ketika itu adalah menetapkan setiap ladang ternakan babi hanya untuk menampung keperluan rakyat negeri Selangor iaitu sekitar 250,000 ekor dan bukan bagi tujuan eksport secara besar-besaran.

“Dalam perbincangan itu, kita hanya meluluskan projek ini sekiranya saiz ladang ternakan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, kita menolak cadangan ini atas faktor saiz dan kita tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan dan keputusan secara muktamad supaya projek ini dilaksanakan.

“Selain itu, keputusan yang dibuat turut mengambil kira pandangan semua pihak termasuk orang awam yang tidak mahu projek itu diteruskan kerana itu dasar Barisan Nasional dalam melaksanakan sesuatu pembangunan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini yang mengumumkan pendirian kerajaan negeri untuk meneruskan projek ternakan babi secara moden di kawasan Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat, Sepang.

Dalam pada itu, Mohamad Khir ketika ditanya mengenai status 4,325.5 hektar tanah hutan simpan yang dibatalkan statusnya di antara tahun 2000 hingga 2007 untuk dibangunkan, beliau memberitahu, perkara itu seharusnya tidak dijadikan isu.

“Mengikut Kanun Tanah Negara, kerajaan negeri perlu mengekalkan 30 peratus hutan simpan bagi menjalankan pembangunan dan Selangor ketika ini mempunyai lebih 30 peratus manakala selebihnya adalah hutan ‘miskin’ (tidak ada hasil balak) yang diguna untuk pembukaan ladang dan pembangunan lain.

“Saya tidak fikir perkara ini akan menimbulkan isu, tetapi jika kerajaan negeri mahu mendapatkan senarai nama yang memperoleh tanah rizab itu, saya menggalakkannya kerana ia tidak melibatkan mereka yang berkepentingan,” katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN