VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 07/04/2008

Pembacaan, imaginasi sains pada kanak-kanak

KANAK-kanak dan imaginasi adalah sesuatu yang saling berkait rapat. Mereka belajar menerusi imaginasi. Imaginasi kanak-kanak kadang-kadang melangkaui jangkaan. Di antara individu yang paling memberi kesan terhadap imaginasi kanak-kanak ialah mereka yang paling rapat dengannya, iaitu ibu bapa atau pengasuh.

Menurut Marjorie Taylor, seorang pakar psikologi merangkap penyelidik daripada University of Oregon in Eugene, kanak-kanak menggunakan imaginasi sebagai alat pemikiran mereka.

Mereka menggunakan imaginasi untuk mencari penjelasan kepada beberapa perkara yang sukar mereka fahami dalam kehidupan, seperti masalah keluarga, isu ketuhanan, mahupun dunia kanak-kanak sebelum kelahiran.

Kanak-kanak juga gemar berimaginasi bagi mengatasi kesakitan dan kedukaan yang mereka alami.

Pakar psikologi Alison Gopnik dari University of California, Berkeley pula mengatakan bahawa kanak-kanak sudah boleh berimaginasi seawal usia sembilan bulan.

Pada ketika inilah ibu bapa atau pengasuh sudah boleh memainkan peranan untuk menggarap apa yang mereka mahukan untuk santapan imaginasi anak-anak mereka. Tidak salah pada usia semuda itu ilmu sains boleh diperkenalkan, sama ada melalui perbuatan atau pembacaan ibu bapa kepada bayinya.

Mungkin ibu bapa boleh menunjukkan gambar-gambar planet dan bintang-bintang yang bergemerlapan secara berulang kali bagi mewujudkan imaginasi cakerawala kepada si bayi.

Sementara itu, kanak-kanak berusia setahun ke atas sudah mula mengenal objek dan memahami gambar-gambar yang ditunjukkan.

Pada waktu ini pendekatan awal yang bersesuaian sudah boleh digarap. Buku sains selalunya mempunyai gambar-gambar yang menarik dan berkisar tentang kehidupan seharian, seperti anggota tubuh badan, bagaimana makanan diproses di dalam perut, apa terjadi sewaktu ibu mengandungkan adik, mengapa hujan turun, mengapa lampu menyala dan sebagainya.

Kanak-kanak akan cepat berimaginasi apabila diceritakan mengapa sesuatu fenomena itu berlaku, terutama fenomena yang dekat dengan mereka.

Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menceritakan sesuatu itu dengan kaedah seringkas yang boleh, benar dan logik, kerana ini adalah penerimaan pertama kanak-kanak.

Menurut kajian, pembelajaran yang pertama inilah yang akan menjadi asas kepada pengetahuan sedia ada yang bakal mereka ada dalam minda bawah sedar.

Seandainya kanak-kanak itu didedahkan dengan konsep yang salah, pengetahuan itu akan terus dibawa dan apabila lewat dikenal pasti, adalah sukar untuk guru mengubah konsep atau persepsi tersebut.

Seorang pakar kaji bintang yang bekerja dengan NASA di Amerika Syarikat telah mengakui bahawa minat yang mendalam dalam bidang astronomi telah wujud dalam dirinya sejak zaman kanak-kanak lagi.

Hasil dari sifat taksub dengan cerita Star Wars pada ketika kanak-kanak menyebabkan beliau terus menerawang dalam imaginasi bintang-bintang serta galaksi. Zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan buku dan komik tentang galaksi.

Imaginasi ini terus membawanya pada cita-cita sebagai seorang astronomi dan beliau akhirnya berjaya. Ada banyak lagi kisah saintis-saintis yang berjaya masa kini dan minat mereka yang tertanam sejak zaman kanak-kanak.

Mereka menjadi individu yang berjaya dalam bidang sains bukan kerana kebetulan, tetapi kesinambungan daripada apa yang diterapkan sejak awal kehidupannya, sama ada disedari atau tidak.

Terdapat banyak buku, majalah mahupun komik kanak-kanak yang berkisar tentang sains dan kehidupan di pasaran masa kini. Ilustrasi yang dibuat juga amat menarik dan konsep yang dibawa cukup dipermudahkan untuk difahami oleh kanak-kanak.

Bahan bacaan ini dipersembahkan dengan menggunakan warna-warna yang terang dan watak-watak yang cukup menghiburkan. Harga bahan bacaan tersebut juga terdapat dalam julat yang mampu dibeli oleh pelbagai golongan.

Ada banyak tahap bahan bacaan yang boleh digunakan untuk kanak-kanak mengikut peringkat umur. Kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun selalunya lebih berminat kepada imej bergambar yang ringkas dan berwarna-warni.

Lantaran itu bahan seperti kad imbasan amat sesuai digunakan. Kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun pula berminat dengan proses sains dan carta yang mudah. Tahap imaginasi mereka juga amat tinggi dan boleh dizahirkan semula dalam bentuk lukisan atau lakon cara.

Sementara bagi kanak-kanak yang sudah pandai membaca, pendekatan lebih kepada penerangan dan cerita yang lebih jelas tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Kanak-kanak pada usia ini mempunyai perasaan ingin tahu yang amat tinggi serta akan mencari sesuatu yang mantap untuk diimaginasikan.

Perasaan ingin tahu yang tinggi adalah sesuatu yang sihat di dalam pembelajaran ilmu sains yang lebih kepada proses sains dan eksperimentasi.

Namun demikian, kanak-kanak tidak akan dapat meneroka bahan bacaan yang ada tanpa bantuan daripada orang dewasa.

Ibu bapa bukan sekadar menyediakan bahan, mereka juga boleh membantu anak-anak secara membaca bersama-sama atau berbincang tentang apa yang diperlihatkan oleh bahan bacaan tersebut.

Menerapkan input ilmu ke dalam minda seseorang kanak-kanak adalah seperti mencurahkan air ke atas span yang sentiasa bersedia untuk menyerap seberapa banyak air yang boleh.

Input yang positif akan membuahkan output yang juga positif.

Sememangnya fitrah manusia akan mencari sebab dan akibat tentang sesuatu fenomena yang berlaku dalam kehidupan, dan ilmu sains merupakan cabang ilmu yang sememangnya mencari bukti kukuh tentang fenomena alam.

Tidak salah membiarkan kanak-kanak berimaginasi tentang sains, dengan konsep dan pendekatan yang betul serta bersesuaian. Hakikatnya, sains adalah fenomena dalam kehidupan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.