|
KUALA TERENGGANU 14 Feb. - Demam pilihan raya semakin membara apabila Pemuda UMNO Terengganu memasang lebih sejuta bendera parti itu di seluruh negeri itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac ini.
Ketua Penerangan Pemuda negeri, Razali Idris berkata, pemasangan bendera-bendera dan poster berkenaan adalah sebahagian kaedah untuk menguatkan semangat jentera pilihan raya pelbagai peringkat.
Katanya, kira-kira 100,000 anggota pemuda bahagian mula bertungkus lumus memasang poster dan bendera parti di kawasan masing-masing sejak minggu lepas.
''Kita mahu jadikan ini sebagai medan ujian dan mengenal pasti kelemahan yang boleh diperbaiki daripada segi persediaan kita menghadapi pilihan raya.
''Ini baru permulaan, peringkat pertama kita mahu menghantar mesej jelas terutama kepada pihak pembangkang bahawa kami Pemuda di peringkat bahagian masing-masing sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas lanjut Razali berkata, kerja-kerja menggantung bendera dan poster ini melibatkan ahli-ahli jawatankuasa Pemuda di seluruh bahagian di negeri ini.
Katanya, di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, seramai 320 orang Pemuda telah memasang bendera dan poster bagi menyemarak semangat untuk pilihan raya.
IKLAN@UTUSAN
|