|
KUALA LUMPUR 14 Feb. - Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau bersedia bertanding lagi pada pilihan raya umum ke-12 jika diberi peluang berbuat demikian.
Namun, katanya, pemilihan mutakhir adalah terletak di bawah keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Jelasnya, setakat ini ramai di kalangan ahli UMNO sudah mengetahui calon-calon yang akan bertanding di peringkat kawasan masing-masing.
''Soalan mengenai saya akan bertanding atau tidak ini amat sensitif dan ia bergantung kepada Perdana Menteri. Saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana sehari dua lagi kita akan tahu kedudukan sebenar,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Dewan Perniagaan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (DPCSKL) di sini hari ini.
Rais menambah, secara peribadi, beliau sendiri merupakan orang yang sentiasa bekerja dan sentiasa bersedia.
Ujarnya, beliau bekerja bukan pada musim ini sahaja tetapi juga pada musim akan datang.
''Rekod dan prestasi saya bekerja adalah seperti dulu dan terpulang kepada orang lain untuk menilainya,'' katanya.
IKLAN@UTUSAN
|