|
PULAU PINANG 14 Feb. - DAP berhasrat mengurangkan strategi meletakkan seorang calon bertanding di dua kawasan secara serentak iaitu di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya ke-12.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah berkenaan bukan sahaja akan dilakukan di Pulau Pinang malah merangkumi seluruh negara.
Menurut beliau, pada pilihan raya umum lalu, memang ada dua atau tiga calon bertanding dua kerusi sekali gus.
''Jadi untuk pilihan raya kali ini, kita tidak menolak kemungkinan perkara sama berlaku tetapi kita cuba untuk meminimumkan jumlahnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Pasar Chowrasta di Jalan Penang di sini hari ini.
Turut serta ialah Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Apabila ditanya adakah DAP hanya meletakkan calon-calon terbaiknya untuk bertanding di Pulau Pinang, Guan Eng menjawab:
''Tentu sekali kita mahu yang terbaik bertanding di negeri ini tetapi itu tidak bermakna kita tidak buat perkara sama di tempat lain.
''DAP memang mahu meletakkan satu pasukan yang kuat di Pulau Pinang kerana kita perlu berlawan menggunakan mentaliti kuat ekoran cabaran lebih hebat di sini,' ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|