|
SEREMBAN 14 Feb. - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau tidak akan menukarkan mana-mana individu sesuka hati, melainkan ia diminta oleh parti atau UMNO Bahagian masing-masing.
''Saya boleh bekerja dengan sesiapa pun. Tak kiralah, orang baru atau orang lama. Saya bukan suka tukarkan orang. Saya sentiasa memberi peluang kepada mereka,'' kata Mohamad yang juga Menteri Besar di sini hari ni.
Kata beliau, perkara yang sama juga dilakukan dalam pentadbiran kerajaan.
''Kita tidak akan menukar orang sewenang-wenangnya. Kadangkala orang lama pun bagus juga, mereka banyak pengalaman. Orang baru pun begitu juga, ada idea baru," katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Mohamad, jika berlaku pertukaran dalam calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding kelak, ia adalah satu proses parti.
Beliau sekali lagi ditanya apakah kriteria calon yang diinginkan pada pilihan raya kali ini, Mohamad menjelaskan mereka mestilah rajin, boleh melaksanakan kerja, ada integriti, diterima baik oleh rakyat, suka jumpa rakyat dan kedudukan dalam parti.
Ditanya pula sama ada wakil rakyat di kalangan ahli UMNO yang datang bertemu beliau ada yang menyatakan kesudian untuk berundur, Mohamad berkata: ''Setahu saya tidak ada pula tetapi yang datang bertemu saya semuanya mahu bertanding semula. Kita akan pertimbangkanlah."
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri turut mengulas keinginan parti DAP memenangi dua pertiga kerusi pada pilihan raya kali ini dan menjelaskan, perkara itu perlu dilihat sebagai satu cabaran.
''Bagi saya, ia adalah satu cabaran dan kita perlulah menggandakan kerja. Kita kena kuatkan jentera. Saya percaya BN akan menang dalam pilihan raya ini," jelas beliau.
IKLAN@UTUSAN
|