Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 15/02/2008
Angka 8 di hati Khir Toyo

Angka 8 di hati Khir Toyo

SEPANG 14 Feb. - Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu sinonim dengan angka 13, lain pula dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (gambar) yang menyatakan nombor 8 amat dekat dengan dirinya dan negeri ini.

Mohamad Khir berkata, angka yang amat digemari oleh kaum Cina itu dianggap memberikan tuah kepadanya kerana mempunyai banyak kaitan antaranya, 2008 adalah tahun kelapan beliau menjadi Menteri Besar.

Selain itu, tarikh kelahiran beliau ialah pada Ogos iaitu bulan kelapan manakala keluasan negeri Selangor juga hampir mencecah 8,000 kilometer persegi.

''Tahun ini adalah 2008 dan pilihan raya umum kali ini ditetapkan pada 8 Mac.

''Ini sudah banyak kali lapan dan kita yakin ini memberikan petanda bahawa Barisan Nasional (BN) di Selangor akan mencapai kemenangan pada kali ini," katanya sambil menerima tepukan gemuruh ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan Rumah Harapan Kanak-Kanak Malaysia di Kampung Baru Labu Lanjut, Salak Tinggi di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu Mohamad Khir berkata, beliau akan menyerahkan senarai nama calon-calon BN Selangor kepada Perdana Menteri dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Beliau berkata, pihaknya yakin Perdana Menteri akan memanggil semua menteri besar dalam tempoh tersebut bagi membincangkan perkara berkenaan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas sama ada akan terus kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang atau bertukar ke kawasan lain.

''Kita tengoklah nanti. Sama ada banyak perubahan muka baru atau tidak, kita tengoklah nanti kerana yang lama jangan ditinggalkan dan yang baru jangan dilupakan," katanya.

Ketika diminta merumuskan barisan calon BN pada kali ini, beliau berkata, senarai calon membabitkan campuran muka baru dan lama dengan sebahagian besar mereka terdiri di kalangan golongan profesional.

''Kita harap mereka dapat memberikan sumbangan ke arah pembangunan pesat negeri ini," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN