|
KUALA LUMPUR 14 Feb. – Sejak dua tahun lalu, banyak pihak menjangkakan pilihan raya umum ke-12 akan diadakan pada tahun 2009 mengambil kira mandat kerajaan yang memerintah sekarang akan berakhir pada Mei tahun depan.
Ada beberapa pihak pula meramalkan pilihan raya umum ke-12 diadakan pada bulan Ogos dan September 2007, bersempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.
Beberapa pemerhati politik merasakan ia waktu terbaik untuk memenangi hati rakyat pada bulan yang dikaitkan dengan semangat patriotik dan cintakan negara.
Malangnya, ramalan itu tidak tepat apabila timbul pula cakap-cakap politik kononnya pilihan raya akan diadakan pada Disember 2007.
Pada awal tahun ini, ada juga pihak yang meneka pilihan raya umum akan diadakan pada bulan Februari selain mengaitkan dengan angka 13 Februari sebagai tarikh pilihan raya umum.
Angka 13 merupakan angka yang amat disukai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Berdasarkan feng shui masyarakat Cina pula, angka 13 membawa maksud yang baik iaitu ‘pasti hidup’. Bagaimanapun, ramalan hari pengundian pada 13 Februari juga tidak menjadi.
Akhirnya, teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-12 terjawab. Perdana Menteri membubarkan Parlimen pada 13 Februari manakala hari ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada 8 Mac.
Pengumuman tarikh pengundian pada 8 Mac itu secara tidak langsung menepati ramalan Utusan Malaysia yang pernah menjangkakan pilihan raya akan diadakan seawal 8 Mac atau selewat-lewatnya 15 Mac ini.
Spekulasi mengenai tarikh pilihan raya semakin diperkatakan apabila Perdana Menteri menjelaskan bahawa pilihan raya umum ke-12 berkemungkinan diadakan sebelum beliau menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Senegal pada 8 hingga 14 Mac ini.
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub pula dalam sidang media di Jalan Raja Laut di sini kelmarin menjangkakan tarikh pilihan raya adalah pada 1 Mac depan manakala penamaan calon pada 21 Februari ini.
Jangkaan itu meleset sedikit.
IKLAN@UTUSAN
|