VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 September 2014 / 25 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 14/02/2008

Parlimen bubar -- Tarikh penamaan calon, pilihan raya ditentukan hari ini


Abdullah Ahmad Badawi sambil diperhatikan oleh Najib Tun Razak sewaktu mengumumkan pembubaran Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya semalam. – Gambar Zaki Amiruddin.


PUTRAJAYA 13 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan, iaitu 15 bulan sebelum mandat penggal sekarang berakhir pada Mei 2009.

Serentak itu, semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak turut dibubarkan.

Perdana Menteri memberitahu sidang akhbar di sini pada pukul 12.35 tengah hari bahawa beliau diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk mendapat perkenan bagi membubarkan Parlimen ke-11 berkuat kuasa hari ini.

“Seri Paduka telah menandatangani Perisytiharan Pembubaran Parlimen pada hari ini. Kerajaan-kerajaan negeri juga telah dinasihati supaya membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa tarikh yang sama,” katanya.

Sepanjang sidang akhbar sepuluh minit itu, Abdullah berdiri di rostrum yang terletak di sebelah bendera Malaysia di Bilik Sidang Akhbar Jabatan Perdana Menteri di sini ditemani Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Parlimen telah dimaklumkan berkenaan pembubaran itu.

“SPR akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi,” katanya.

Pengumuman Abdullah itu sekali gus menamatkan spekulasi tarikh pilihan raya umum ke-12 yang hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.

Pada sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan dan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan, Abdullah berharap pilihan raya umum kali ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Beliau yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mendapat semula mandat dua pertiga seperti yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004.

Pada pilihan raya itu, BN menang 198 daripada 219 kerusi Parlimen dan memperoleh undi popular 64 peratus. Ia merupakan antara pencapaian terbaik BN dalam sejarah pilihan raya Malaysia sejak 50 tahun lalu.

Sebelum Parlimen dibubarkan hari ini, pembangkang mempunyai 20 kerusi di Dewan Rakyat iaitu DAP 12 kerusi, Pas enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Di peringkat DUN, BN menguasai 454 kerusi, Pas 36 kerusi manakala DAP 15 kerusi. BN memerintah di semua negeri kecuali Kelantan.

Perdana Menteri meminta pengundi memberi sokongan besar kepada BN demi manfaat mereka dan kepentingan negara.

‘‘Saya berharap pengundi faham isu-isu dalam negara, beri penilaian secara objektif dan beri undi kepada BN,” katanya.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-12 manakala 505 kerusi DUN akan direbut parti-parti politik di peringkat negeri.

Pilihan raya umum kali ini turut menyaksikan pertambahan tiga kerusi baru bagi Parlimen Sarawak ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2006.

Abdullah percaya BN akan meraih kemenangan besar berdasarkan prestasi parti pemerintah itu yang melaksanakan segala janjinya.

Katanya, program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan BN telah memberi manfaat kepada rakyat.

Menjelang hari pengundian, kata beliau, jentera BN telah disusun rapi bagi menghadapi pilihan raya umum dan apa yang perlu dilakukan sekarang hanyalah untuk menggerakkannya.

Mengenai senarai calon pilihan raya BN, Abdullah berkata, ia akan menyaksikan gabungan muka lama dan muka baru.

‘‘Apabila senarai itu telah ditetapkan, maka pada waktu itu kita akan tahu berapa orang muka lama, berapa orang muka baru,” katanya.

Perdana Menteri turut ditanya mengapa beliau membubarkan Parlimen 15 bulan lebih awal dari tarikh tamat tempoh penggal lima tahun yang akan berakhir pada 16 Mei 2009.

‘‘Tidak salah. Tidak ada kesalahan (bubar lebih awal). Saya fikir elok juga. Kalau kita hendak buat (pilihan raya) pada waktu ini pun tak apa.

“Saya percaya dengan kekuatan mandat nanti, insya-Allah kita akan dapat meneruskan usaha-usaha kita untuk memajukan negara dan memberi nikmat kepada rakyat,” ujarnya.

Abdullah juga yakin pembubaran Parlimen tidak akan menjejaskan perayaan dan aktiviti masyarakat Cina yang masih merayakan sambutan Tahun Baru Cina.

Ditanya mengenai keistimewaan tarikh 13 Februari sehingga beliau memilih tarikh itu bagi membubarkan Parlimen, sambil ketawa Abdullah berkata: “Tak payah ulaslah, tak payah ulaslah.”

Angka 13 diketahui umum merupakan angka kegemaran Perdana Menteri.

Malah ketika Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini, beliau yang ditemani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menaiki kenderaan rasmi Proton Perdana bernombor pendaftaran WCH13.

Banyak pihak sebelum ini meramalkan pengundian akan diadakan pada 1 atau 8 Mac ini manakala hari penamaan calon dijangka diadakan 10 hari sebelum itu pada minggu terakhir bulan ini.

Mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Dalam beberapa pilihan raya umum lepas, SPR menetapkan tempoh kempen hanya selama 10 hari. Biasanya kerajaan telah dibentuk tidak sampai tiga minggu selepas Parlimen dibubarkan.

Pada pilihan raya umum ke-11, hari pembubaran Parlimen, hari penamaan calon dan hari pengundian berlangsung dalam tempoh 17 hari.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.