|
ARKIB : 16/12/2007 Persuratan Baru: Cerita dan ilmuPada 30 November lalu bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir menyampaikan syarahan perdana yang berjudul Kritikan Sastera Melayu; Antara Cerita Dengan Ilmu. Isi syarahan ini merupakan usaha pemantapan gagasan Persuratan Baru janaan Mohd Affandi Hassan. Sebelum itu Persuratan Baru giat diperkatakan oleh penjananya sendiri. Bersempena syarahan itu, terbit buku yang judulnya sama. Saya mengikuti syarahan tersebut, tetapi untuk pembicaraan ini saya akan memberikan tumpuan pada buku. Ungku Maimunah ternyata benar-benar memahami maksud Mohd Affandi Hassan. Kandungan buku ini merupakan salinan (carbon copy) pandangan pengkritik itu. Sukar sekali untuk kita menemukan pandangan Ungku Maimunah sendiri, malah kelihatannya Ungku Maimunah memang berhasrat membiarkan ketiadaan pandangannya. Mungkin beliau berpendapat, eloklah beliau menyampaikan pandangan Mohd Affandi Hassan melalui satu syarahan perdana, kerana Mohd Affandi tidak mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian. Buku Seperti yang ketara pada judul, buku ini mengupas hal-hal yang berkaitan dengan cerita dan ilmu. Bahagian awal diturunkan kata-kata Sultan Abdullah yang memerintahkan agar ditulis karya yang memberi faedah kepada orang kemudian hari. Perintah itu dipertentangkan dengan pandangan geram seorang sasterawan moden bahawa buku sastera bukannya buku ilmu. Janggal sekali apabila perintah sultan itu dipertentangkan dengan pandangan popular sasterawan. Kata-kata sultan yang dipetik itu membayangkan satu kehendak orang yang berada di luar aktiviti berkarya. Kata-kata sasterawan itu pula hanyalah satu reaksi latah yang layak disebut di kedai kopi. Kupasan mengikut gagasan Persuratan Baru tidak perlu meletakkan karya sastera di tahap bawah. Kupasan itu hendaklah berakhir dengan menentukan adakah sesebuah karya itu karya sastera atau karya persuratan. Jika Salam Maria merupakan karya sastera yang baik, biarpun tidak dapat diterima sebagai karya persuratan. Itulah yang wajar disebutkan oleh Ungku Maimunah tentang novel tersebut. Syarahan perdana ini menghujahkan bahawa sebaik-baiknya watak karya persuratan hendaklah daripada golongan orang terpelajar atau golongan baik-baik. Watak atau watak-watak itu hendaklah mulia dalam pandangan masyarakat, bukan hina seperti pelacur. Cadangan demikian hanya betul jika yang dimaksudkan dengan pelacur dan orang yang terpelajar itu benar-benar berlegar di fikiran karyawan ketika karya sedang dihasilkan. Jika persuratan baru menghendaki demikian maka pemilihan watak akan turut menentukan letak karya. Tegasnya, watak-watak seumpama Maria Zaiton dalam Salam Maria, atau Prof. Dr. Awang Yusuf dalam Wajah Pendita karya Mohd Affandi Hassan, menurut hukum anjakan makna, hanyalah abstraksi. Watak-watak itu tidak menentukan letak karya. Persuratan Baru tidak berkompromi dalam hal ini. Menurut tanggapan penjana dan pengikut gagasan Persuratan Baru, kemuliaan mustahil datang daripada watak pelacur. Jadi, Persuratan Baru tidak akan seiring dengan kesusasteraan. Saya pernah menyanggah anggapan bahawa penulis cereka ialah pembohong. Lim Teck Leong, pendidik bahasa dan sastera berbahasa Inggeris, yang beranggapan demikian bermaksud mengatakan sebarang yang dikisahkan terbahagi dua, iaitu benar dan bohong. Apa-apa yang direka-reka adalah bohong. Jadi seluruh Wajah Pendeta dan Salam Maria berada pada tahap yang sama, iaitu kisah bohong. Namun, hukum anjakan makna menyediakan jawapan kepada pandangan sinis pendidik itu. Sebagai contoh, dalam Wajah Pendeta, Mohd Affandi Hassan melukiskan peristiwa Prof. Dr. Awang Yusuf menerima surat daripada Pujangga Asmara. Yang ingin dikemukakan ialah kandungan sura itu. Pujangga Asmara berbicara tentang erotika berseni dan bersopan yang barangkali ada falsafahnya. Cerita penerimaan surat itu tidak penting, teapi isi surat itu penting. Bagi Pujangga Asmara, sasterawan selama ini tidak pandai menggunakan unsur-unsur kejantinaan secara beradab. Kesusasteraan dan persuratan telah begitu lama hidup di tengah-tengah masyarakat kita. Gagasan Persuratan Baru menyedarkan sejumlah pengkarya dan pembaca bahawa persuratan membawa yang baik-baik saja, seperti pantun-pantun dan pepatah susunan Pak Tenas Effendy. Kesusasteraan adalah lain daripada persuratan. Kesusasteraan ialah karya-karya kreatif yang melukiskan pelbagai segi kejiwaan dan kemasyarakatan manusia. Dalam hal gaya kesusasteraan, kita temukan istilah “gaya khutbah” yang membawa konotasi yang negatif, tetapi daripada pandangan persuratan khutbah tidak boleh diejek kerana rujukannya adalah hal keagamaan. Perkara penting dalam syarahan Ungku Maimunah ialah bahawa Persuratan Baru dapat diaplikasikan oleh mana-mana masyarakat di dunia. Ini ialah sumbangan anggota masyarakat Islam Malaysia untuk masyarakat dunia. Gagasan ini mudah, iaitu ringankan cerita dan beratkan ilmu. Pelaksanannya juga tidak sukar, kerana sebarang karya yang dipenuhi hujahan yang mantap adalah karya yang dikehendaki. Katakanlah Suluh Peraba dan Pernikahan Di Lubuk Hantu tidak dapat memasuki kotak persuratan, saya masih yakin saya dapat menghasilkan karya yang berpadanan dengan kehendak Affandi, Ungku Maimunah dan Zariat itu, jika nanti saya terdorong. TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Utusan Online on Facebook
|