|
FESTIVAL Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2007) yang akan berlangsung pada 28 November hingga 2 Disember ini dilihat mampu untuk melonjakkan mutu dan martabat bidang perfileman tempatan.
Matlamat itu tidak mustahil untuk dicapai memandangkan festival filem bertaraf antarabangsa anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan KLIFF Sdn. Bhd. itu akan dijadikan sebagai acara tahunan.
Dalam erti kata lain, mulai tahun ini pihak penganjur sudah pun mempunyai banyak perancangan jangka panjang untuk tahun ini dan seterusnya bagi mencapai objektif tersebut.
Apatah lagi, KLIFF 2007 mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) selain kerjasama daripada Kementerian Pelancongan.
Apa yang jelas, penganjuran festival itu merupakan projek serampang tiga mata di mana ia bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pengedaran atau pemasaran filem dari dalam dan ke luar negara serta mempromosikan sektor pelancongan negara.
Dalam hal ini, kita memang mempunyai banyak filem berkualiti yang berpotensi untuk dipasarkan terutamanya untuk tayangan di stesen-stesen televisyen (TV) di luar negara.
Para penerbit filem tempatan misalnya, boleh menjadikan KLIFF 2007 untuk memasarkan filem-filem mereka kepada syarikat pengeluar filem dan stesen-stesen TV yang terbabit pada festival tersebut.
Bagaimanapun, fokus untuk membawa masuk kepakaran dan teknologi dalam bidang perfileman dari luar negara bagi memajukan industri perfileman sepatutnya diberi lebih penekanan.
Ini kerana, menerusi KLIFF 2007 kita akan menerima kedatangan ramai warga perfileman bertaraf antarabangsa seperti penerbit, pengarah dan pelakon popular dari Amerika Syarikat, Afrika, Eropah dan Asia.
Secara tidak langsung, segala teknologi dan kepakaran mereka yang akan dibawa bersama ketika sesi persidangan, ekspo dan simposium sepanjang festival itu berlangsung boleh dikongsi bersama oleh para pembikin filem tempatan.
Selain itu, langkah pihak penganjur mengadakan Kursus Penulisan Skrip Filem Cereka mulai 12 November hingga 18 November ini di Finas, Hulu Klang juga boleh dianggap sebagai salah satu cara untuk mempertingkatkan lagi mutu skrip dan filem tempatan pada masa depan.
Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, setakat ini, Finas sudah pun memilih 15 peserta bagi mengikuti kursus yang akan dikendalikan oleh penulis skrip terkemuka dari United Kingdom iaitu Barbara Slade.
“Tujuan kami menganjurkan kursus ini adalah untuk mempertingkatkan bakat dan mutu penulisan skrip di kalangan para penggiat filem kita yang kami rasakan berpotensi.
“Finas mahu menumpukan perhatian pada aspek ini kerana skrip memainkan peranan yang amat penting dalam kejayaan sesebuah filem,” katanya pada sidang akhbar KLIFF 2007 di pusat membeli-belah Cineleisure Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Difahamkan antara penggiat filem tempatan yang terbabit dalam kursus penulisan skrip itu ialah Hafsah Hassan, Raja Azmi Raja Sulaiman, Mamat Khalid, Pierre Andre dan Fauziah Nawi.
Kursus selama seminggu itu sedikit sebanyak mungkin mampu untuk memberi pendedahan kepada para peserta bagi mempertingkatkan penulisan skrip mereka pada masa akan datang.
Tetapi sepatutnya kursus seperti itu patut diperluaskan melalui kursus jangka panjang pada peringkat yang lebih tinggi contohnya di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta.
Selain itu, turut dianjurkan sempena KLIFF 2007 ialah Ekspo Pengisian Multimedia Kreatif 2007 (CMC Expo’ 07) yang akan diadakan pada 29 November hingga 2 Disember ini di ruang legar Cineleisure Damansara.
Lebih 65 buah syarikat perfileman dari Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Asia sudah pun bersetuju mempamerkan teknologi, pencapaian dan perkhidmatan yang mereka sediakan dalam bidang perfileman pada ekspo tersebut.
Pengerusi KLIFF 2007, Datuk Ab. Rauf Yusoh menjelaskan, CMC Expo’ 07 bukan sahaja boleh memberi pendedahan luas kepada para pembikin filem tempatan tetapi ia juga boleh menambah pengetahuan di kalangan pengunjung.
“Ekspo yang diadakan secara percuma ini bukan sahaja untuk para penggiat perfileman tetapi ia juga dibuka kepada orang ramai.
“Secara tidak langsung, ekspo dan festival ini bukan sahaja khusus untuk para karyawan filem tetapi ia juga boleh disertai oleh para peminat filem tempatan,” ujarnya.
Finas menerusi lawan web Portal Sinema yang mereka kendalikan di Internet turut menganjurkan kuiz bagi menarik perhatian dan seterusnya merancakkan lagi festival filem itu.
Para pengunjung laman web www.sinemamalaysia.com.my hanya perlu menjawab beberapa soalan di mana pemenangnya akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah AS$500 Dolar (RM1,650).
Semua usaha itu dilakukan tidak lain semata-mata untuk mengisi program penganjuran KLIFF 2007 selain memanfaatkan festival tersebut bagi kepentingan dan kemajuan industri perfileman tempatan.
Malah, KLIFF juga boleh dijadikan sebagai batu loncatan dalam usaha pihak penganjur untuk mewujudkan identiti tersendiri dalam penganjuran festival filem bertaraf antarabangsa seperti yang telah pun dilakukan oleh negara-negara lain.
Thailand misalnya, boleh berbangga dengan adanya Festival Filem Antarabangsa Bangkok, begitu juga dengan Festival Filem Antarabangsa Busan di Korea Selatan yang berjaya menempatkan nama mereka sebagai festival filem yang semakin berkembang maju.
Meskipun baru pertama kali dianjurkan, tetapi KLIFF 2007 mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para penerbit filem dari luar negara.
Setakat ini, sebanyak 176 buah filem dari luar negara dan 14 filem tempatan sudah pun menghantar pencalonan pada festival itu.
Namun, sehingga kini Finas dan KLIFF Sdn. Bhd. mahupun Ketua Juri KLIFF 2007 iaitu U-Wei Haji Saari masih belum memutuskan filem mana yang akan bertanding.
Jelas Ab. Rauf, pihaknya akan mengumumkan senarai pendek filem-filem yang akan bertanding dan juga nama-nama bintang-bintang filem antarabangsa yang bakal menghadiri KLIFF 2007 pada sidang-sidang akhbar seterusnya.
Apa pun diharap KLIFF 2007 akan berjaya dianjurkan dengan cemerlang dan menjadi titik tolak dalam usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pengedaran filem dari seluruh dunia selain memempertingkatkan mutu perfileman tempatan pada masa depan.
IKLAN@UTUSAN
|