Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 04/09/2007
Angkasawan negara: Keputusan minggu depan

Angkasawan negara: Keputusan minggu depan

SHAH ALAM 3 Sept. – Dr. Sheikh Muszaphar Shukor atau Kapten Dr. Faiz Khaleed? Siapakah yang bakal mencatat sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama melaksanakan misi ke angkasa lepas?

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, jika mengambil kira pendapat atau maklum balas daripada peminat wanita, pastinya Dr. Sheikh Muszaphar yang menjadi pilihan.

Namun, menurut beliau, keputusan akhir pemilihan angkasawan negara bukan berlandaskan pilihan peminat sebaliknya ia akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mendapat laporan lengkap daripada panel khas.

Tambah beliau, keputusan akhir calon tersebut akan diumumkan pada satu majlis khas minggu hadapan.

“Minggu ini, kita masih dalam mood merdeka, jadi kita sambut merdeka puas-puas dahulu dan minggu depan kita akan ketahui pula jejaka bertuah yang akan menjadi angkasawan negara yang pertama.

“Kita akan lihat calon pilihan wanita atau calon pilihan lelaki yang akan mencipta sejarah baru bidang aeroangkasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi 2007 di Sirim Bhd. di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata, misi Malaysia untuk menghantar calon angkasawan ke angkasa lepas bukanlah misi suka-suka atau sekadar melaungkan slogan `Malaysia Boleh' semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, penghantaran wakil negara itu bertujuan untuk menerapkan semangat mencintai ilmu pengetahuan terutama dalam bidang sains, teknologi dan angkasa lepas di kalangan generasi muda di Malaysia.

“Jika kita lihat sejarah dahulu, kenapa Amerika Syarikat gusar apabila Rusia ingin menghantar rakyatnya ke angkasa lepas, bukan sebab dia takut atau apa, tetapi dia takut negaranya akan ketinggalan.

“Amerika Syarikat bimbang, wakil dari Rusia akan mempelajari sesuatu yang tidak diketahuinya di angkasa lepas dan dia akan ketinggalan.

“Sebab itu, kita nak ada rakyat Malaysia ke sana, sekurang-kurangnya ia akan memberikan semangat kepada lima juta anak-anak muda yang masih menuntut di sekolah untuk terus berusaha mendalami ilmu pengetahuan dan bersaing untuk kemajuan bangsa dan negara," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN