Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 19/08/2007
Ibu sebak terima ijazah anak maut nahas

Ibu sebak terima ijazah anak maut nahas


HIBA..Saadiah Salim sebak melihat Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik) milik anaknya, Allahyarham Fadliz Ahmad, yang terbunuh dalam kemalangan bas ekspres di Bukit Gantang, Perak, Isnin lalu, selepas menerimanya daripada Dr. Lin See-Yan (kiri) pada majlis Konvokesyen Ke-36 USM di Pulau Pinang, semalam. Turut memerhati ialah Dzulkifli Abdul Razak dan bapa Allahyarham, Ahmad Ibrahim (kanan). – Gambar SAZALI CHE DIN.


PULAU PINANG 18 Ogos – Tiada apa yang lebih menghibakan pada majlis konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini selain daripada melihat seorang ibu mengucup sekeping ijazah seolah-olah sedang mengucup anaknya.

Saadiah Salim, 50, mendakap erat dan mengucup ijazah anaknya, Allahyarham Fadliz Ahmad, 22, sebaik sahaja ia disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Lin See-Yan. (Gambar di muka 2)

Fadliz adalah antara 21 orang yang terkorban dalam nahas bas ekspres di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang, Taiping Isnin lalu.

Suasana tambah memilukan apabila adik bongsu Fadliz, Noramira, 12, menangis teresak-esak sebaik sahaja ijazah abangnya itu diserahkan kepada ibu bapanya.

Pada majlis itu, See-Yan turut menyerahkan sumbangan universiti itu bernilai RM5,000 kepada bapa Allahyarham, Ahmad Ibrahim, 58.

Turut hadir, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dzulkifli Abdul Razak, Pemangku Dekan Fakulti Fizik, Profesor Madya Dr. Mohd. Zubir Mat Jafri dan ahli keluarga Allahyarham Fadliz.

Terdahulu, semua graduan dan tetamu bertafakur sambil membacakan surah al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Allahyarham ketika namanya disebut pada penghujung sesi penerimaan Ijazah Sarjana Muda Sains.

Sementara itu, Ahmad memberitahu, mereka sekeluarga tidak mahu hadir ke konvokesyen itu memandangkan masih sedih dengan pemergian Fadliz.

‘‘Tetapi mengenangkan dalam Islam kita perlu memuliakan jemputan orang, maka selepas berbincang dengan ahli keluarga, kami datang juga ke majlis ini,’’ katanya yang tiba di sini kira-kira pukul 11 malam tadi.

Dia memberitahu, pada pagi kejadian itu, dia pergi menghantar surat permohonan Fadliz yang memohon menjadi pegawai tentera tanpa mengetahui anaknya sudah tiada lagi.

Katanya, selepas menghantar permohonan anaknya itu, dia terus ke kebun buah-buahan dan melawat kolam ikannya yang terletak beberapa meter dari rumah tetapi dia merasa ada sesuatu yang tidak kena.

Katanya, dia tidak mengetahui mengenai kemalangan tersebut lebih awal kerana televisyen di rumahnya rosak.

“Sebagai seorang pesara tentera, saya tahu ada benda yang tidak kena apabila terlihat anggota polis datang ke rumah saya tanpa sebab.

“Bila saya telefon ke balai, polis yang menyambut panggilan saya terus memaklumkan tentang kejadian yang menimpa Eddy (nama panggilan Fadliz di rumah). Masa itu saya rasa kaki saya tidak jejak ke lantai.

“Dia anak yang baik. Memang kejadian itu satu kejadian yang menyedihkan tapi saya tidak terkilan sebab apa yang arwah inginkan saya dah tunaikan. Saya reda,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zubir berkata, arwah merupakan seorang pelajar yang pendiam dan merupakan antara yang memiliki fizikal paling tinggi dalam kelasnya.

“Dalam projek akhir semester, arwah telah bergandingan dengan salah seorang pelajar terbaik fakulti kami dan mereka berdua menghasilkan kertas kerja yang cukup baik.

“Arwah merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang mengambil Fizik dan Matematik,” ujarnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN