VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 April 2014 / 16 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 12/07/2007

Peristiwa Keranda 152 kembali ditelusuri penyair


KHALID Salleh mendeklamasi puisi Pak Pandir Siapakah Kau pada Malam Baca Puisi Pena di Rumah Pena, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEJAK abad ke-13 bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa kerajaan-kerajaan Melayu-Islam, bahasa persuratan, bahasa undang-undang, komunikasi dan pengembangan agama Islam di Nusantara.

Bahasa Melayu jugalah yang telah berkembang sejak ratusan tahun sebagai lingua franca perdagangan dan sosial. Ia menjadi medium pengantara yang merentas sempadan etnik dan geografi. Tidak hanya di Tanah Melayu tetapi juga di Nusantara merangkumi kepulauan Melayu/Indonesia.

Kolonialisme Barat iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris di Tanah Melayu serta Indonesia sejak abad ke-16 tidak banyak mengubah keadaan dari aspek bahasa dan adab resam masyarakat. Apa lagi agama Islam yang dianuti.

Mahu atau tidak, kuasa-kuasa Barat terpaksa menerima hakikat bahawa bahasa Melayu sebagai identiti orang Melayu tidak mungkin dapat dikikis dengan mudah.

Bahasa inilah yang kemudiannya muncul sebagai bahasa kebangsaan Malaysia selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia termaktub kukuh dalam Perlembagaan negara berasaskan kepada sejarah sosiopolitik bahasa Melayu itu sendiri.

Berdasarkan Perlembagaan tersebut, bahasa Melayu tercatat dalam Fasal 152 Perlembagaan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan (1967/68). Ironinya, timbul persoalan sejauhmanakah dasar itu dilaksanakan secara telus terutama oleh sektor awam dan swasta.

Dalam dekad pertama kemerdekaan tanah air, muncul gerakan oleh pengarang-pengarang, pencinta dan pejuang-pejuang nasionalis Melayu tentang pentingnya peruntukan dalam Fasal 152 Perlembagaan 1957.

Ini kerana dalam tempoh itu, bahasa Inggeris masih kekal sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan, di samping bahasa Melayu. Sebenarnya, yang akan diuji dalam tempoh itu ialah bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris.

Parlimen akan mengkaji semula sama ada bahasa Melayu akan dapat menjadi bahasa rasmi tunggal atau sebagai bahasa untuk digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan, menggantikan bahasa Inggeris.

Apabila Parlimen akhirnya bersidang dalam tahun 1967 untuk membincangkan Rang Undang-Undang Bahasa, beberapa banyak badan NGO Melayu berasa terperanjat terutama berkaitan dengan masa depan bahasa Melayu.

Memorandum

Keputusan yang dibuat menunjukkan bahasa Inggeris masih dikekalkan dalam beberapa bidang urusan rasmi kerajaan, terutama dalam bidang kehakiman.

Keputusan lain yang dibantah ialah keputusan untuk mengeluarkan notis-notis yang dianggap melanggar semangat dasar bahasa yang asal (yang diperuntukkan dalam Fasal 152 Perlembagaan 1957).

Bantahan dan kemarahan mengenai keputusan itu telah menyebabkan sembilan orang peguam Melayu juga telah menghantar memorandum bertajuk Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967: Memorandum Hussein Onn.

Antara lain memorandum ini mengemukakan hujah bahawa Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang dibentangkan di Parlimen pada waktu itu tidak menggambarkan atau tidak melaksanakan matlamat yang terkandung dalam Fasal 152 Perlembagaan, iaitu tentang status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Keengganan kerajaan menolak keputusan yang dibuat di parlimen tersebut telah menyebabkan satu perhimpunan perhimpunan besar di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ia dihadiri oleh kira-kira 1,500 orang peserta mewakili pelbagai pertubuhan, termasuk orang perseorangan, untuk membantah Rang Undang-Undang itu.

Kemudian sekumpulan aktivis bahasa Melayu mengadakan perarakan yang terkenal sebagai Perarakan Keranda 152. Mereka menuju ke kediaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Parlimen untuk menghantar memorandum bantahan.

Peristiwa Keranda 152 membangkitkan kesedaran kepada banyak pihak supaya tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan. Natijahnya, bahasa Melayu mendapat kedudukan yang lebih baik dan terjamin (sehinggalah akhir-akhir ini apabila ia semakin layu dan terpencil sekali lagi).

Baru-baru ini, sekumpulan penyair muda dan mapan tanah air kembali mengingatkan detik-detik getir dan bersejarah mengenai masa depan bahasa Melayu itu dalam program Baca Puisi Pena-Dewan Sastera; Keranda 152 di Rumah Pena, Kuala Lumpur.

Tema-tema yang diutarakan berkisar kepada masa depan, persoalan di sekitar bahasa Melayu mutakhir dan sejarah jatuh bangunnya sejak bermulanya kerajaan tradisional Melayu Nusantara.

Aktivis teater, Khalid Salleh mendeklamasi puisi yang bernada sinis Pak Pandir Siapakah Kau? tentang masa depan bahasa Melayu yang sering dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Antara lain, beliau menulis;

Penyair Marsli NO pula tampil mendeklamasi puisi-puisi sinisme dan kritikan terhadap individu yang memperlekehkan bahasa Melayu seperti tercatat dalam Akta 152 Perlembagaan Negara.

Antara puisi-puisi beliau ialah Di Depan Sejarah Dia Menangis, Bangsaku Tanah, Air, Api, Angin dan Hutang Bahasa.

Dalam pada itu, penyair veteran, Ahmad Sarju mendeklamasi sajak Suara Si Kitul manakala Dr. Victor A. Pogadeav pula mendekalmasi puisi yang dipetik daripada kumpulan sajak Istana Pasir karya Rahimidin Zahari.

Turut mendekalamsi puisi pada majlis tersebut ialah Yasin Salleh yang menyampaikan Keranda 152 dan Suraya Dewi Illusiku dan Mohd. Soleh Ahmad yang membaca sajak Bicara Tuan dan Jebat, sebuah karya oleh Dr. Hashim Yaakob dan Shella Sebuah Nostalgia.

Antara penyair lain yang turut membaca puisi pada majlis tersebut ialah Ijamala MN (Bahasa di Keranda), Razali Endun (Apakah Yang Kita Cari) dan Zaifulnizam Wagiran (Benteng Akhir - karya Baha Zain).

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.