|
KUALA TERENGGANU 26 Jun – Kementerian Sumber Manusia menyelar tindakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang berpiket semalam bagi menuntut gaji minimum RM900 sebulan dan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 untuk pekerja sektor swasta sedangkan pintu rundingan masih terbuka.
Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar menyifatkan tindakan MTUC itu sebagai cubaan menangguk di air keruh dengan memainkan emosi rakyat bagi meraih publisiti murahan.
Menurutnya, para pemimpin MTUC telah membiarkan diri mereka diperalat oleh pihak tertentu yang ingin mewujudkan suasana tidak harmoni di dalam negara bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan terutama ketika pilihan raya umum hampir menjelang.
‘‘Saya rasa ramai pekerja yang tidak setuju piket tersebut diadakan menyebabkan ia tidak mendapat sambutan daripada ahli MTUC sendiri kerana hanya 6,417 orang daripada kira-kira tiga juta ahli kesatuan itu mengambil bahagian.
‘‘Saya lihat mereka yang berpiket semalam adalah ahli MTUC daripada aliran parti pembangkang yang menentang kerajaan, malah dalam MTUC sendiri banyak pemimpinnya adalah daripada parti pembangkang. Saya minta pekerja tidak terjerat dengan cara mereka,” kata Abdul Rahman selepas merasmikan Sambutan Hari Anti Dadah Antarabangsa Terengganu 2007 di sini hari ini.
Semalam, ahli MTUC mengadakan piket serentak di 13 lokasi di seluruh negara menuntut supaya pekerja swasta diberi gaji minimum dan elaun COLA.
Menurut Abdul Rahman, tindakan MTUC itu tidak wajar dan tidak profesional kerana mereka sendiri tahu perkara itu masih dalam proses rundingan.
Malah, beliau memberitahu, kerajaan telah lama mendahului kesatuan dalam hal itu apabila menetapkan gaji minimum bagi lima sektor swasta sebelum ini iaitu bagi pekerja hotel, kapal, pawagam, pembantu kedai dan klinik serta pekerja am yang melibatkan 1.2 juta pekerja di seluruh negara.
‘‘Kerajaan juga sedang mengkaji penetapan gaji minimum untuk tujuh lagi sektor swasta, jadi kita hairan dan terkejut dengan tindakan MTUC kerana mereka tahu kita mahu melaksanakan perkara itu. Mungkin MTUC hendak tunjuk bahawa mereka buat kerja.
‘‘Saya minta pekerja sedar akan perkara ini kerana kerajaan sedang berunding mengenai hal ini... berpiket tidak akan dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah ini,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan mengambil berat mengenai penetapan gaji minimum sektor swasta, namun ia tidak boleh dilakukan secara serentak kerana ia perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemampuan majikan selain ia perlu mematuhi Akta Penetapan Gaji Maksimum.
Beliau memberitahu, dalam sektor tertentu seperti industri kecil dan sederhana (IKS) serta pembantu rumah, pemberian gaji minimum dan elaun COLA adalah mustahil dilakukan dan pelaksanaannya tidak adil kerana ia melebihi kemampuan majikan.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|