Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 15/06/2007
Seorang profesional setiap rumah

Seorang profesional setiap rumah

SERDANG 14 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan ingin melihat keluarga Melayu di luar bandar dapat melahirkan seorang doktor atau peguam melalui kempen ‘Satu Rumah Satu Profesional’.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, orang Melayu perlu mencontohi masyarakat India apabila setiap ibu bapa mahu anak-anak mereka menjadikan kerjaya kedoktoran sebagai pilihan pertama diikuti peguam.

Beliau berkata, dengan menjadikan sasaran tersebut sebagai matlamat hidup, secara tidak langsung bidang pendidikan akan diberi tumpuan utama oleh orang Melayu di luar bandar.

‘‘Saya sarankan setiap rumah dapat melahirkan seorang profesional dan berharap ia disambut baik oleh masyarakat kita khususnya yang tinggal di luar bandar,’’ katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Gerakan Daya Wawasan (GDW) di sini, hari ini.

Bagi mencapai matlamat itu, beliau berharap masyarakat luar bandar akan menggalakkan anak-anak mereka menelaah pelajaran sekurang-kurangnya tiga jam sehari.

Katanya, bagi memastikan anak mereka cemerlang dalam bidang pendidikan, ibu bapa tidak seharusnya terlalu bergantung kepada apa yang dipelajari di sekolah.

‘‘Ibu bapa bukan sahaja hantar anak ke sekolah tapi sama-sama memberi dorongan atau motivasi sehingga mereka berjaya.

‘‘Pastikan anak-anak membuat kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran di rumah antara dua hingga tiga jam setiap hari,’’ katanya.

Dalam ucapannya, Najib berkata, masyarakat luar bandar seharusnya mempunyai kesedaran untuk mengubah nasib masing-masing dan tidak berharap kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Menurutnya, semua peringkat masyarakat bermula dari akar umbi perlu mengambil inisiatif untuk membangunkan komuniti mereka dan bukannya secara individu.

‘‘Jangan jadi masyarakat pasif yang tunggu orang lain saja buat kerja. Orang yang berjaya adalah mereka yang ada kesedaran untuk berubah,’’ katanya.

Najib turut mengingatkan masyarakat luar bandar supaya tidak menilai kejayaan atau kekayaan mereka berdasarkan keluasan tanah yang dimiliki.

‘‘Sekarang ini, zaman amat mencabar, kejayaan hanya akan dinilai dan dicapai melalui minda yang kuat,’’ tegasnya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Ilham Desa Peringkat Kebangsaan.

Tempat pertama dimenangi oleh Kampung Sinisian dari Ranau, Sabah yang memperlihatkan muzik tradisi berasaskan buluh, kayu dan bambu.

Mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.

Tempat kedua ialah Kampung GDW Long Bedian dari Baram, Sarawak yang menerima RM40,000 manakala tempat ketiga Kampung Peruas, Nilai, Negeri Sembilan dengan hadiah wang tunai RM30,000.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN