|
KAPIT 9 Mei – Polis hari ini mengesahkan seorang ustazah yang ditemui mati dalam keadaan separuh bogel di sebuah anak sungai terpencil berhampiran kawasan Perindustrian Bleteh, kira-kira tiga kilometer dari sini semalam, mati akibat dicekik.
Ketua Polis Daerah Kapit, Asisten Supritendan Johar Ahmad berkata, punca kematian mangsa itu diperoleh daripada hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat Anizah Othman, 26.
“Bagaimanapun bedah siasat tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa turut dirogol kerana keadaan mayat yang telah bengkak akibat berada lama di dalam air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian semalam, mayat Anizah, seorang ustazah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Hin Hua, di Song, dekat sini, ditemui dalam keadaan terapung pada pukul 10 pagi.
Penemuan mayat itu dilaporkan kepada polis oleh seorang lelaki Iban.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan seluar jeans yang dipakainya tertanggal dan ditemui kira-kira tiga meter dari lokasi mayatnya ditemui.
Guru tersebut yang baru empat bulan bertugas di sekolah berkenaan mengajar Pengetahuan Agama Islam, dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, selepas dia bertolak dari Song ke pekan Kapit dengan feri ekspres untuk bertemu rakannya.
Pihak sekolah yang menyedari guru terbabit tidak datang bertugas sejak kelmarin kemudian membuat laporan kehilangan mangsa di Balai Polis Song, pagi kelmarin.
IKLAN@UTUSAN
|