Utusan Online
 
9 Februari 2010 / 24 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 07/01/2007
Promosikan Malaysia – PM -- Rakyat diseru sama-sama tarik pelancong sempena TMM 2007

Promosikan Malaysia – PM -- Rakyat diseru sama-sama tarik pelancong sempena TMM 2007


MENARIK...Pertunjukan bunga api berhampiran buaian roda Eye on Malaysia memeriahkan lagi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2007 yang disempurnakan oleh Abdullah Ahmad Badawi di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam tadi.


KUALA LUMPUR 6 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru rakyat sama-sama mempromosikan negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM 2007) bagi membolehkan Malaysia menjadi destinasi pelancongan utama dunia.

Berucap pada majlis pelancaran TMM 2007 yang gilang gemilang di Taman Tasik Titiwangsa di sini malam ini, Perdana Menteri berkata, penentu kejayaan TMM 2007 ialah rakyat sendiri.

Mereka termasuk polis, pemandu teksi dan bas serta peniaga yang seharusnya memberikan layanan terbaik kepada pelancong agar mereka mengecapi pelbagai pengalaman manis semasa di sini.

Beliau berkata, antara daya penarik pelancong ke Malaysia ialah pembangunan pesat, keindahan alam semula jadi termasuk pulau peranginan serta budaya masyarakat berbilang kaum dan agama yang hidup aman damai.

‘‘Apabila pelawat datang kita kena senyum dengan mereka, bila mereka tanya jalan kita tunjuk jalan dan bila mereka tanya sesuatu kita perlu menjawab secara berhemah.

‘‘Saya juga berharap kebersihan kedai dan tempat pelancongan sentiasa dijaga bagi memastikan mereka menikmati pengalaman tidak dapat dilupakan,” katanya.

Hujan renyai-renyai sejak petang tidak menghalang kira-kira 20,000 orang ramai termasuk pelancong asing, 674 wakil media dan ejen pelancongan dari 35 buah negara menikmati persembahan artis terkenal seperti Anita Sarawak, Michael Wong dan Sheila Majid serta pertunjukan bunga api.

Mereka turut terpegun menyaksikan tarian zapin irama Malaysia serta buaian roda, Eye on Malaysia setinggi 60 meter sama seperti London Eye di United Kingdom.

Orang ramai mula membanjiri tapak pelancaran sejak pagi lagi untuk mengunjungi gerai-gerai yang menjual produk makanan dan hasil kraf tangan keluaran setiap negeri.

Majlis pelancaran itu disiarkan secara langsung menerusi siaran RTM 1 dan stesen televisyen di 10 negara Asia Pasifik termasuk Australia dan New Zealand.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hakim Borhan.

TMM 2007, yang bertemakan “Sambutan Jubli Emas” dan diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, merupakan edisi ketiga selepas siri pertama pada 1990 dan kedua pada 1994, yang telah mencatatkan kejayaan.

TMM 2007 dijangka dapat menarik 20.1 juta pelancong ke negara ini beserta dengan tukaran wang asing sebanyak RM44.5 bilion.

Abdullah dalam ucapannya juga meminta pelancong supaya tidak melepaskan peluang untuk menikmati makanan dan buah-buahan Malaysia yang beraneka jenis dan lazat.

Perdana Menteri turut menggalakkan pelancong menggunakan pengangkutan awam dan infrastruktur jalan yang baik.

Katanya, mereka juga tidak harus lupa membeli barangan kraf tangan tempatan seperti batik yang berkualiti tinggi dan telah diiktiraf di peringkat dunia serta merasai sendiri suasana kehidupan di kawasan pedalaman.

Menurut Abdullah, langkah memberi tumpuan kepada pelancong terbukti berjaya apabila kira-kira 17 juta pelancong asing melawat Malaysia pada tahun lalu dan telah membelanjakan RM37 bilion untuk penginapan dan makanan serta membeli-belah.

‘‘Kesan jangka panjang ialah pelancong terbabit yang terdiri daripada kalangan peniaga mungkin akan membuat keputusan untuk melabur dan menanam modal di negara ini,” katanya.

Pada penghujung majlis, Abdullah turut merasmi serta mencuba buaian roda Eye on Malaysia berharga RM30 juta dengan kemudahan 42 gondola berhawa dingin yang setiap satu boleh memuatkan lapan penumpang.

Sementara itu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata, sempena TMM 2007 itu pelbagai acara yang sukar dilupakan menanti pelancong dalam dan luar negara.

‘‘Pencapaian dan pembangunan negara selama 50 tahun adalah hasil usaha rakyat kita dan saya percaya seluruh warganegara akan memainkan peranan masing-masing untuk menonjolkan keunikan warisan budaya berbilang kaum kepada tetamu kita,” ujar beliau.

Lebih 240 aktiviti menarik dirancang diadakan di seluruh negara sepanjang tahun ini sempena TMM 2007.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN