VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 26/11/2006

Sakit dada biasa atau serangan jantung


UJIAN stres dilakukan bagi mengenal pasti punca sakit dada.


ADAKAH tekanan tidak selesa yang anda rasai di dalam dada sepanjang bahagian depan tubuh dari paras abdomen atas ke leher berpunca daripada hidangan makan malam yang terlalu pedas dan berempah?

Ataupun, ia menjadi amaran bahawa anda mungkin diserang penyakit jantung?

Mengetahui tanda-tanda serangan jantung boleh membantu anda membuat keputusan pantas – keputusan yang boleh menyelamatkan nyawa anda atau nyawa orang tersayang.

Sama ada, ketidakselesaan tersebut merupakan sakit dada biasa yang hanya memerlukan rawatan dalam bentuk ubat-ubatan antasid atau ia merupakan sakit dada yang memerlukan anda berjumpa doktor dengan segera.

Namun, ada kalanya bukan mudah bagi menentukan sama ada sakit dada yang berlaku adalah disebabkan oleh serangan jantung atau masalah-masalah lain.

Contohnya, kesakitan yang berkaitan dengan serangan jantung kerap disalahtafsirkan dengan ketidakcernaan atau senak yang boleh dilegakan dengan antasid sahaja.

Sebaliknya, individu yang mengadu sakit pedih hulu hati sering kali menyangkakan ia berpunca daripada sakit jantung.

Walaupun sakit dada sinonim sebagai tanda amaran utama berlakunya serangan jantung, berita baiknya, bukan kesemua sakit dada termasuk di dalam golongan ini.

Malah, terdapat pelbagai masalah lain yang boleh menjadi puncanya. Ada yang menyebabkan sedikit ketidakselesaan biasa sahaja manakala selebihnya adalah serius dan mengancam nyawa.

Apa-apa jua organ mahupun tisu di dalam dada anda boleh menjadi punca kesakitan dari jantung ke paru-paru, esofagus, otot-otot, tulang rusuk, tendon, hinggalah ke saraf dan kulit.

Contohnya, jika sakit dada meningkat apabila anda menekan hujung jari pada bahagian yang sakit, ia mungkin menandakan ketegangan otot, ligamen atau mungkin juga tulang rusuk yang patah.

Keradangan rawan di dalam tulang dada, satu keadaan yang dikenali sebagai costochondritis (sakit sendi rusuk) juga boleh mencetuskan sensasi sakit. Kesakitan dinding dada lazimnya mengambil masa beberapa hari sahaja dan boleh dilegakan dengan aspirin atau ibuprofen.

Sakit yang menyucuk-nyucuk selama beberapa saat pada penghujung nafas yang dalam lazimnya tidak membimbangkan. Hiperventilasi atau pernafasan pada kadar yang terlalu cepat semasa rehat juga boleh menyebabkan sakit dada.

Lain-lain penyebab sakit dada termasuklah pleurisi iaitu keradangan di sekeliling membran paru-paru dan, radang paru-paru (pneumonia). Kedua-duanya boleh menjadi bertambah teruk ketika batuk. Kayap juga boleh menyebabkan sakit yang terasa menusuk, panas terbakar atau digigit, seperti getah yang diikat ketat pada dada.

Kudis atau ulser pada lapisan perut atau usus kecil selalunya menyebabkan kesakitan di bawah tulang dada yang semakin teruk semasa perut kosong manakala pedih hulu hati di mana asid perut bergerak songsang ke atas memasuki esofagus atau, senak juga boleh menyebabkan sakit dada.

Batu karang boleh mendatangkan kesakitan di sebelah kanan dada atau sekitar bahu yang bertambah mudarat selepas makan terutamanya makanan berlemak atau, pada tengah malam.

Sementara itu, mereka yang mengadu sakit dada tetapi tidak menunjukkan sebarang punca fizikal sering kali mendapat markah yang tinggi menerusi ujian bagi darah gemuruh atau panik.

Dalam kes-kes yang jarang berlaku, kanser yang melibatkan bahagian dada atau yang sudah merebak boleh menyebab sakit dada manakala di kalangan kanak-kanak, kebanyakan sakit dada tidak berkaitan dengan jantung.

Jadi, apakah perbezaannya dan bagaimana pula untuk menentukannya? Pakar Runding Kardiologi, Hospital Pakar Putra, Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz mempunyai butiran lanjut.

“Seseorang itu dikatakan mendapat serangan jantung apabila otot jantungnya tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi disebabkan oleh arteri koronari menjadi sempit.

“Ia juga boleh terjadi apabila bekalan tersebut terputus sama sekali mengakibatkan sebahagian daripada otot itu telah mati atau mengalami nekrosis dan gagal berfungsi,’’ ujar beliau.

Menurutnya, ini terjadi apabila berlakunya pengumpulan sejenis lemak atau plak yang melekat pada dinding saluran darah yang lamakelamaan menyempit atau menyekat pengaliran darah ke jantung.

Apabila ini berlaku, serangan awal jantung bermula. Tanda-tanda serangan jantung ini berpanjangan lebih daripada 15 minit. Serangan jantung ini mungkin berkurangan atau berhenti seketika dan kemudian berulang semula.

“Sakit dada yang disebabkan oleh penyakit jantung biasanya menyerang di antara 10 minit hingga setengah jam. Kadangkala, kesakitan itu berpanjangan sehingga berjam-jam lamanya kalau tidak dirawat.

“Ia mungkin disebabkan oleh aktiviti atau emosi yang kuat atau boleh juga menyerang tanpa perlu ada sebab-sebabnya yang tertentu,’’ kata Dr. Nor Izham.

Sakit jantung biasanya terasa amat mencengkam dan menyucuk-nyucuk di bahagian dada terutamanya di tengah-tengah dan sebelah kiri dada.

Kemudian, sakit ini menular ke anggota lengan, leher dan dagu yang selalunya disangka sakit gigi, menjalar ke bahagian belakang dan perut (pesakit mungkin menyangka ia sakit gastrik).

Lain-lain gejala serangan jantung termasuklah sesak nafas, keletihan, badan berpeluh dan kadangkala terasa loya, jantung berdebar dan pitam.

Dr. Nor Izham memberitahu, kebanyakan mereka yang mendapat serangan jantung tidak merasakan yang mereka sedang mengalami masalah tersebut dan sekadar menganggapnya sebagai kesakitan yang tidak merbahaya.

“Jika ada faktor-faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi atau tahap kolesterol tinggi, kemungkinan sakit jantung lebih adalah tinggi.

“Kadangkala, doktor sendiri sukar untuk menentukan sama ada seseorang pesakit itu diserang penyakit jantung atau lain-lain punca,’’ ujarnya.

Tambah beliau, biasanya keadaan ini dipanggil sakit dada atipikal yang memerlukan penyiasatan lanjut seperti elektrokardiogram (EKG) di mana kejadian elektrik jantung dirakamkan di atas jalur kertas yang bergerak. Lain-lain penyiasatan termasuklah ujian darah troponin.

“Sentiasalah menyimpan ubat aspirin di rumah atau pejabat untuk digunakan semasa serangan jantung berlaku,’’ saran beliau.

Kadang-kadang, jelas Dr. Nor Izham lagi, pesakit tidak merasakan sakit dada (infark senyap) disebabkan oleh penyakit kencing manis yang merosakkan saraf (neuropati autoimun). Bagaimanapun, simptom-simptom lain seperti sesak nafas dan berpeluh masih ada.

Infark merupakan suatu tisu mati pada kawasan kecil setempat yang terjadi akibat bekalan darah yang tidak mencukupi. Infark senyap adalah lebih berbahaya kerana tidak terasa dan oleh itu, tidak diberikan rawatan.

Justeru, walau apa pun kesakitan dada yang anda alami, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian dan kerosakan yang kekal pada jantung yang boleh menjejaskan kualiti hidup anda.

Sebab-sebab lain sakit dada

* Masalah sistem penghadaman seperti gastrik, ulser perut, penyakit pundi hempedu, batu karang, senak, pedih hulu hati atau refluks gastroesofageal (GERD)

* Sakit sendi rusuk (Costochondritis)

Saraf (Spondilosis Servikal, berkaitan tulang belakang)

* Pneumonia, darah beku ke paru-paru (embolism pulmonari), udara dalam kaviti pleura akibat lubang pada permukaan paru-paru atau dinding dada yang menyebabkan paru-paru jatuh (pneumotoraks) dan pleurisi.

Dalam kes-kes sebegini, sakit dada selalunya bertambah buruk jika anda menarik nafas dalam-dalam atau batuk dan selalunya terasa menyucuk dan mendadak.

* Asma yang diiringi dengan nafas tercungap-cungap, ronkus (bunyi pernafasan bernada rendah) dan batuk

* Darah gemuruh, panik dan hiperventilasi.

Jika sakit kuat atau ada gejala-gejala lain seperti sesak nafas dan berpeluh, segeralah berjumpa doktor.

Diagnosis

* Ujian stres

* Imbasan ekokardiogram

* Angiogram iaitu pemeriksaan pembuluh darah melalui sinar X.

Rawatan

* Pil Aspirin

* Pil Plavix

* Pil glyceryl trinitrate (GTN) yang diletakkan di bawah lidah

* Suntikan streptokinase untuk mencairkan darah beku pada saluran jantung

* Pembedahan belon angioplasti boleh dilakukan bagi mengembangkan saluran darah yang sempit atau tersumbat

Pencegahan

* Jangan merokok

* Ambil pemakanan atau diet sihat

* Amalkan senaman, gaya hidup sihat

* Kawal berat badan

* Kawal tekanan darah tinggi

* Kawal tahap kolesterol darah

* Kawal penyakit kencing manis

* Uruskan stres atau tekanan mental dengan baik

* Lakukan pemeriksaan perubatan tahunan termasuk EKG dan ujian stres bagi mereka yang berumur 45 tahun ke atas.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.