|
BUTTERWORTH 21 Nov. – Peserta Kursus Asas Sukarelawan Rakan Muda yang menjalani latihan berenang di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Impian, Nibong Tebal semalam tidak memakai jaket keselamatan dipercayai bertujuan untuk merasai situasi sebenar cara menyelamat mangsa lemas.
Ketua Polis Bandar Baru, Kedah, Deputi Supritendan Zainal Abdul Aziz berkata, atas alasan itu jaket keselamatan yang disediakan penganjur dan pihak pengurusan kem itu tidak digunakan menyebabkan tiga peserta mati lemas.
Siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam insiden tiga peserta kursus itu mati lemas semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, tiga peserta kursus itu mati lemas manakala dua lagi rakan mereka berjaya diselamatkan ketika berenang di sebuah kolam di kem tersebut.
Mangsa yang mati lemas ialah Syakirin Abdul Malik, 20; Zafirah Yasin, 18; Norfaezah Md. Yusof, 16, dari daerah Timur Laut dan Barat Daya di bahagian pulau.
Zainal memberitahu, polis telah mengambil keterangan daripada kesemua jurulatih yang juga anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) serta saksi bagi membantu siasatan manakala hasil bedah siasat mengesahkan ketiga-tiga mangsa mati akibat lemas.
Menurutnya, keterangan jurulatih menyatakan mereka mempunyai sebab tertentu mengapa jaket keselamatan tidak dipakai semasa modul itu dijalankan.
‘‘Mungkin jurulatih menganggap memakai jaket keselamatan tidak membantu mencapai tujuan modul itu diadakan tambahan pula peserta telah diberi taklimat sebelum latihan dimulakan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JPA3 Pulau Pinang, Mejar Johari Mohd. Taufik berkata, lesen lima anggota JPA3 yang bertindak selaku jurulatih semasa kejadian itu digantung sehingga siasatan selesai.
IKLAN@UTUSAN
|